NASIONAL

Tindakan tegas pegawai atasan minta dana anjur Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Tindakan tegas termasuk ditukarkan, akan diambil terhadap pegawai atau Ketua Polis Daerah (KPD) yang masih berdegil melakukan pengumpulan dana dari luar, bagi membiayai majlis Hari Raya Aidilfitri, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata arahan itu dikeluarkannya berikutan terdapat rungutan dalam kalangan anggota, yang mengatakan masih terdapat pegawai kanan termasuk berpangkat KPD mengarahkan mereka keluar membuat kutipan sumbangan daripada individu dan syarikat tertentu.

“Walaupun amaran keras dan jelas telah dikeluarkan oleh saya sebelum ini, masih ada pegawai kanan yang mengerah anggota bawahan untuk mengumpul dana demi kepentingan peribadi.

“Jika ada formasi PDRM yang ingin membuat majlis Aidilfitri menggunakan sumbangan itu hasil daripada wang kelab atau kutipan dalam kalangan mereka tidak apa, namun jika ada sampai meminta daripada individu atau syarikat, saya tidak mengizinkan,” katanya selepas menghadiri kempen balik kampung Op Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Gombak, di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata sekiranya perkara tersebut masih diteruskan, tindakan tegas akan diambil termasuk pegawai kanan terbabit ditukarkan.

Beliau berkata masyarakat tidak akan merajuk atau melancarkan protes jika polis tidak menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri, justeru ia tidak perlu dianjurkan jika tiada kemampuan.

“Bagaimanapun, terdapat sesetengah pegawai ini beranggapan ia satu kejayaan, jika dapat menganjurkan majlis hari raya di balai dengan menyediakan makanan yang mewah, namun amat memalukan kerana wang diperoleh dari luar.

“Apa yang memburukkan lagi apabila ia datang daripada sumber tidak halal, itu saya tegah,” katanya.

Sebelum itu, penularan satu mesej di aplikasi WhatsApp berhubung arahan Abdul Hamid yang mengarahkan pegawainya untuk menghentikan aktiviti berkenaan atau tindakan akan dikenakan terhadap mereka.

Dalam kenyataan itu beliau turut berkata tindakan berkenaan lebih menjengkelkan, apabila ada yang mendakwa bahawa kutipan terbabit untuk diberikan kepada golongan asnaf.

“Saya sekali kali mengulangi amaran saya supaya perbuataan keji dan terkutuk seumpamanya ini, dihentikan serta merta sebelum padah menimpa diri, dan tindakan keras diambil ke atas mereka yang terbabit.

“Jangan gadai maruah diri serta pasukan, dan tidak segan silu bergelumang dengan najis rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan sebagai respons kepada satu status viral di media sosial mengenai dakwaan terdapat dalam kalangan pegawai polis yang mengutip dana untuk mengadakan jamuan pada sambutan Aidilfitri nanti.

Pada 24 Mei lalu, Abdul Hamid mengingatkan pegawai dan anggotanya untuk menghentikan hubungan dengan sindiket judi dan maksiat sebelum mereka dikenakan tindakan.

Beliau turut memberi jaminan pegawai dan anggota yang mengamalkan integriti yang tinggi akan diberikan ganjaran. – BERNAMA


Pengarang :