NASIONAL

Tinggal seorang pesakit dari Pasir Gudang masih dirawat di HSI

JOHOR BAHRU, 28 Jun : Hanya seorang pesakit masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini akibat masalah kesihatan seperti sesak nafas dan muntah-muntah yang dipercayai berpunca daripada pencemaran udara di Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata pesakit berkenaan yang merupakan seprang pelajar perempuan berumur 17 tahun, dimasukkan ke hospital itu sejak pagi Selasa lepas, dan keadaanya stabil.

“Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, tiada pesakit baharu dimasukkan ke wad. Tiga orang telah dibenarkan keluar dari wad dan jumlah ini menjadikan pesakit yang berada di wad kini hanya tinggal seorang sahaja,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga pukul 12 tengah hari tadi bacaan tahap kualiti udara di kawasan Pasir Gudang juga berada pada tahap baik, dan polis masih meneruskan sekatan jalan raya 24 jam di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai akses utama keluar dan masuk ke kawasan Pasir Gudang.

Katanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) melalui pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) juga masih memantau tahap kualiti udara menggunakan gas analyser (GASMET) dalam radius pengesanan sejauh tujuh kilometer yang melibatkan 20 buah sekolah.

Menurut Mohd Khuzzan, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan pengesahan maklumat berhubung masalah kesihatan yang dipercayai berkaitan pencemaran boleh menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang dengan menelefon 07-2513444 atau hubungi Pusat Gerakan Operasi Negeri JBPM Negeri Johor dengan menelefon 07-3310860 atau Pusat Kawalan Operasi Bencana 07-2511 024. -BERNAMA


Pengarang :