SELANGOR

Tingkat pemasangan alat kesan pencemaran air

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 27 JUN: Pemasangan alat pengesan pencemaran air di kawasan sungai akan ditingkatkan sebagai langkah pemantauan mengelakkan insiden pencemaran Sungai Semenyih berulang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pendekatan itu juga bagi mengelakkan risiko kepada sumber air mentah yang diproses di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sungai Semenyih).

Katanya, pemantauan sedia ada sudah dilaksanakan sebelum ini dan ia mampu mengurangkan impak lebih besar terhadap insiden pencemaran bau dikesan di Sungai Semenyih, semalam.

“Kita melakukan pemantauan sebab itu kita dapat menghentikan sebelum ia masuk ke loji rawatan air. Kalau tidak lagi susah dan lebih sukar untuk bersihkan bau.

“Setakat ini kita menggunakan pengesan di muka sauk dan mungkin selepas ini kita perlu perluaskan di banyak tempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Projek Tambahan Kilang Airfoil Servives Sdn Bhd, di sini hari ini.

Amirudin berkata, kawalan dan pemasangan alat pengesan agak mustahil dibuat di sepanjang aliran sungai terbabit sekiranya tiada kesedaran dalam kalangan masyarakat itu sendiri.

“Sebab itu kita mengharapkan kesedaran masyarakat selain daripada kita pasang di muka sauk sebelum ia masuk ke loji rawatan, kita dapat mengesan bau atau sebarang perubahan kuantiti kandungan air yang mengalir,” katanya.

Ditanya perkembangan pencemaran bau di Sungai Semenyih, beliau berkata, tahap pencemaran yang berlaku tidak membahayakan pengguna, tetapi Kerajaan Negeri mengambil langkah sewajarnya demi memastikan keselesaan orang ramai, khususnya penduduk setempat.

“Loji beroperasi semula bermakna pencemaran sudah dapat dikawal dan setakat semalam kita mendapati pencemaran itu tidak mencemarkan air berkenaan dan merbahaya tetapi ia meninggalkan kesan bau yang amat busuk.

“Sebab itu kita hentikan tugas loji berkenaan, tetapi sebenarnya boleh digunakan,” katanya.

Semalam, beberapa kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terkesan dengan gangguan bekalan air serta tekanan rendah susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah bagi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sungai Semenyih) sehingga menyebabkan loji rawatan itu terpaksa dihenti tugas.

Pencemaran itu dikenal pasti berpunca daripaada sebuah kilang memproses minyak sawit di kawasan berhampiran dan arahan menghentikan operasi kilang berkenaan sudah dikeluarkan Kerajaan Negeri bagi membendung pencemaran menjadi lebih teruk.


Pengarang :