SELANGOR

Tokoh guru KAFA tak lupa kenangan kelas runtuh

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JUN: Seorang tokoh guru, Md Mokhtar Abd Wahab tidak sesekali akan melupakan kenangan bangunan kelasnya runtuh ketika tahun pertama bergelar guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pada 1969.

Katanya, lebih mencabar apabila selepas kejadian itu kesemua muridnya lari kerana berpindah ke sekolah lain.

“Walaupun sudah berusia 71 tahun dan sudah pencen, kenangan itu terpahat dalam hati saya sampai bila-bila. Bayangkan waktu itu saya masih muda dan baru menjadi guru, betapa luluhnya perasaan.

“Namun saya kuatkan diri dan cuba bertahan. Alhamdulillah saya tidak sangka akhirnya pada usia sebegini ada yang mengiktiraf bakti selama ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui ketika Majlis Sambutan Hari Guru dan Apresiasi Guru KAFA Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan.

Md Mokhtar yang juga bapa kepada lima anak dan 12 cucu itu berkata, kenangan manis yang tidak akan dilupakan adalah mengajar bersama bekas anak muridnya di Sekolah Rendah Agama Bukit Badong di Bestari Jaya.

“Hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu betapa bahagianya saya pada waktu itu, anak murid yang sebelum ini saya ajar sudah menjadi guru serta sama-sama memberi bakti.

“Walaupun ia berlaku hanya dalam tempoh dua tahun sebelum saya pencen pada 2004, tetapi detik itu sangat menyeronokkan,” katanya.

Beliau yang berasal dari Sabak Bernam itu juga sempat berpesan supaya kesemua bekas anak muridnya tidak meninggalkan al-Quran dalam hidup masing-masing.

“Guru sekarang juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu tambahan, kerana budak sekarang banyak cabaran.

“Sebagai guru agama, pastikan Aal-Quran sentiasa dekat dengan kita. Waktu kecil hingga mati pastikan kitab ALLAH SWT itu sentiasa bersama dengan kita,” katanya.


Pengarang :