NASIONAL

TPM pengerusikan mesyuarat tergempar bincang situasi Orang Asli

PUTRAJAYA, 11 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini memanggil mesyuarat tergempar di sini bagi membincangkan perkembangan terkini situasi Orang Asli daripada suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

Dr Wan Azizah yang mempengerusikan mesyuarat selama dua jam di Pejabat Timbalan Perdana Menteri itu mencerminkan keseriusan dan keprihatinan kerajaan dalam menangani isu kesihatan yang sedang dialami kaum Batek itu.

“Perkara melibatkan nyawa rakyat adalah isu besar yang perlu perhatian khusus dan tindakan menyeluruh,” kata Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, dalam catatan di laman Twitter rasmi beliau.

Beliau berkata setiap agensi yang terlibat akan memastikan isu itu ditangani sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin.

Dr Wan Azizah dijadualkan ke Kelantan pada Jumaat ini bagi meninjau dengan lebih dekat perkembangan isu berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kejadian menimpa Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, baru-baru ini, yang didakwa dilanda penyakit misteri sehingga mengakibatkan sebilangan kematian.

Mengikut suku kaum itu berlaku 14 kematian dengan mangsa dikebumikan secara adat oleh penduduk kampung, tetapi polis memaklumkan hanya menerima dua laporan berkaitan kematian terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy dilaporkan berkata semalam dua kes kematian Orang Asli tersebut disahkan berpunca daripada radang paru-paru. – BERNAMA


Pengarang :