GLOBAL

TPM ucap takziah atas pemergian Ani Yudhoyono

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas wanita pertama Indonesia, Ani Yudhoyono, yang meninggal dunia hari ini.

“Salam takziah buat keluarga @SBYudhoyono dan seluruh rakyat Indonesia atas pemergian bekas wanita pertama, Ani Yudhoyono. Semoga tabah menghadapi berita duka ini,” katanya menerusi catatan di laman Twitter rasmi beliau.

Ani, 66, yang adalah isteri Presiden Indonesia ke-6, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) meninggal dunia di National University Hospital Singapura akibat kanser darah pada 11.50 pagi tadi.

Beliau menjalani rawatan penyakit kanser darah di hospital itu sejak Februari lepas.

Dr Wan Azizah kini berada di Arab Saudi mengetuai delegasi Malaysia pada Sesi ke-14 Persidangan Kemuncak Islam (Kemuncak OIC) yang berakhir hari ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga SBY.

“Baru menerima berita sedih isteri kepada bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono @SBYudhoyono, Ibu Ani Yudhoyono meninggal dunia.

“Saya ucapkan takziah kepada Pak SBY sekeluarga. Semoga tabah menghadapi ujian berat ini. Al-Fatihah,” katanya juga menerusi catatan di Twitter.

— BERNAMA


Pengarang :