NASIONAL

TPM ucap takziah pemergian A. Rahman Hassan

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penyanyi era 1960-an Datuk A. Rahman Hassan, yang meninggal dunia tengah malam tadi, akibat komplikasi paru-paru berair.

“Salam takziah buat keluarga Allahyarham Datuk A. Rahman Hassan. Semoga tabah atas berita duka ini.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” kata timbalan perdana menteri di laman Twitternya, hari ini.

Allahyarham, 73, merupakan vokalis kumpulan Orkes Nirwana yang popular dengan lagu antaranya ‘Tak Mengapa’, ‘Hanya Untukmu’ dan ‘Perpaduan Hidup’.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat di sini, selepas solat Zuhur, hari ini.

Pada Isnin lalu, Allahyarham yang terkenal dengan dendangan lagu berentak pop yeh yeh, dikejarkan ke hospital selepas pitam di sebuah stesen minyak di Ampang sebelum dihantar ke Hospital Ampang menaiki ambulans.

-BERNAMA


Pengarang :