NASIONAL

Trafik perlahan di beberapa kawasan lebuh raya utama malam ini

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Aliran trafik di sesetengah kawasan di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat 9 malam ini.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi, berkata trafik perlahan dari Bukit Tagar ke Bukit Beruntung, Ipoh ke Gopeng, Changkat Jering ke Bukit Berapit serta Kuala Kangsar menuju Sungai Perak.

“Trafik juga perlahan di Kilometer 392.2 arah selatan iaitu dari Behrang menuju Tanjung Malim berikutan kemalangan namun tiada lorong terhalang,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), berkata trafik perlahan dari Terowong Genting Sempah menuju Plaza Tol Gombak serta Bentong ke Bukit Tinggi.

“Aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 juga dilapor perlahan di beberapa kawasan,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

– BERNAMA


Pengarang :