NASIONAL

Trafik perlahan di beberapa lebuh raya petang ini

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Aliran trafik di beberapa laluan lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat 5.30 petang ini berikutan orang ramai pulang ke kampung bagi menyambut ketibaan Syawal Rabu ini.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata aliran trafik dilaporkan perlahan dari Perai menghala Permatang Pauh, Pulau Pinang.

“ Trafik juga sesak dari Subang ke Dataran Prima, Putrajaya ke Bandar Saujana Putra dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Persimpangan Nilai Utara.

“ Aliran trafik dari Nilai menghala ke Kawasan Rehat dan Rawat Seremban dan Bandar Ainsdale ke Port Dickson turut dilaporkan perlahan susulan bilangan kenderaan yang tinggi,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik tinggi dilaporkan di Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah manakala kawasan lain masih lancar dan terkawal.

“Jangkaan jumlah trafik akan meningkat pada malam ini sekitar Lebuhraya KL-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur manakala kawasan lain walaupun mempunyai jumlah kenderaan yang tinggi tetapi keadaan masih terkawal,” kata LLM.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – BERNAMA


Pengarang :