Selangorkini
PBT SELANGOR

Tuduh ingkar arahan Sultan, MDKL kecewa laporan media kurang tepat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 JUN : Majlis Daerah Kuala Langat  (MDKL) menafikan tuduhan pihaknya mengingkari titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pemasangan papan tanda jalan, seperti yang dilaporkan sebuah media, kelmarin.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid menegaskan, MDKL sentiasa mematuhi arahan dan garis panduan yang dikeluarkan Kerajaan Negeri mahupun titah Sultan Selangor.

Katanya, MDKL telah mengemukakan permohonan penukaran papan tanda taman dan jalan di Kampung Baharu Tanjung Sepat pada tahun 2016.

“Berdasarkan permohonan tersebut penukaran papan tanda taman dan jalan diperolehi dengan menggunakan dwi bahasa.

“Hal ini kerana, penduduk sekitar kawasan tersebut mempunyai majoriti 90 peratus penduduk berbangsa Cina.

“Untuk makluman, papan tanda jalan dan taman yang dibuat oleh MDKL mengekalkan penggunaan Bahasa Melayu lebih besar dan penggunaan Bahasa Cina adalah lebih kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini bagi mengulas laporan akhbar bertajuk ‘Penggunaan Bahasa Cina berleluasa, Ingkari Titah Sultan Selangor?’.

Mengulas lanjut, Mohamad Zain berkata, tajuk pada akhbar berkenaan adalah amat tidak tepat dengan situasi sebenar.

Katanya, MDKL juga tidak berniat untuk ingkar titah Sultan Selangor kerana papan tanda berkenaan telah ditukar sejak tahun 2016 lagi.

“Walau bagaimanapun MDKL akan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa negeri dari semasa ke semasa.

“Sehubungan dengan itu, pihak MDKL meminta agar akhbar berkenaan membetulkan dua tajuk berita (terbitannya).

“Pertama, Ingkari Titah Sultan Selangor? dan kedua, EXCO arah tidak guna Bahasa Melayu. Sepatutnya gunalah tajuk yang lebih bersesuaian,” katanya.


Pengarang :