BANGKOK, 23 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad mencadangkan cukai perniagaan dalam talian diperkenalkan untuk meningkatkan pendapatan dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Dr Mahathir menyifatkan bahawa perniagaan dalam talian telah memberi kesan kepada perniagaan konvensional.
Memetik Amazon.com sebagai contoh, beliau berkata kedai buku dalam talian itu menyebabkan kedai-kedai buku konvensional gulung tikar.
“Perniagaan dalam talian yang berurusan secara terus telah menyebabkan perniagaan konvensional terjejas dan kutipan cukai perniagaan juga berkurangan.
“Menerusi perniagaan dalam talian, kita tidak tahu siapa yang mendapat keuntungan (kutipan cukai),” katanya kepada pemberita Malaysia selepas menghadiri Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34, di sini, pada Sabtu.
Saranan itu disuarakan Perdana Menteri ketika sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 sebelum itu.
Dr Mahathir berkata, ketika ini hanya negara asal perniagaan dalam talian itu yang mendapat keuntungan menerusi kutipan cukai tersebut.