NASIONALPENDIDIKAN

UMP tersenarai antara universiti terbaik dunia

KUANTAN, 20 JUN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) disenaraikan sebagai antara universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings (WUR) 2020 yang diterbitkan oleh QS Quacquarelli Symonds (QS), baru-baru ini.

Pencapaian itu diumumkan UMP menerusi kenyataan media di sini hari ini, yang meletakkan universiti itu sebagai universiti teknologi lima bintang apabila berada dalam kelompok 751-800 terbaik dunia.

Penilaian ini dibuat berdasarkan kepada enam kriteria penilaian iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, situasi per fakulti, nisbah pelajar kepada fakulti, perkadaran pengantarabangsaan fakulti dan perkadaran pelajar antarabangsa.

“Bagi penarafan indikasi pengantarabangsaan fakulti menunjukkan UMP berada di kedudukan 360 terbaik dunia manakala prestasi baik dalam indikasi reputasi pula menunjukkan UMP berada di kedudukan 501 terbaik dunia,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Naib Canselor UMP Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff menyifatkan pencapaian itu menunjukkan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran universiti yang memberi fokus kepada pelbagai aspek teknikal dan teknologi.

“Pencapaian ini merupakan petunjuk yang baik bahawa pendekatan pengajaran dan penyelidikan di UMP diiktiraf dalam melahirkan graduan yang kompeten menepati kehendak industri dan mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya.

Wan Azhar berkata UMP juga komited meningkatkan prestasi dan amalan terbaik bagi memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bertaraf dunia dengan teknologi kejuruteraan lebih kreatif dan inovatif. – BERNAMA


Pengarang :