SELANGOR

UNISEL fokus tambah baik fasiliti

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 11 JUN: Universiti Selangor (UNISEL) sedang memberi tumpuan ke arah menambah baik fasiliti bagi kegunaan penuntut di institusi pengajian tinggi berkenaan.

Justeru, Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, pihaknya memerlukan bantuan Kerajaan Negeri bagi menggerakkan kerja penyelenggaraan itu memandangkan kos diperlukan amat tinggi.

“Apabila ada bantuan daripada Kerajaan Negeri, ia dapat membantu universiti menyelenggara fasiliti melalui kapasiti perbelanjaan (KPEC) supaya ia kekal berterusan.

“Penyelenggaraan perlu ada setiap tahun, jika tidak sia-sia sahaja kita baik pulih tetapi tidak diselenggara kerana ia akan menjejaskan infrastruktur berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, beberapa kerja naik taraf juga sudah dijalankan di kampus Shah Alam dan Bestari Jaya seperti membangunkan pintu gerbang bagi mewujudkan persekitaran baharu lebih ceria yang diperuntukkan Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, Mohamad Redzuan berkata, pihaknya tidak bergantung kepada pemaju semata-mata, sebaliknya menggunakan kepakaran sedia ada di UNISEL itu sendiri.


Pengarang :