SELANGOR

UNISEL rai kemeriahan Syawal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BESTARI JAYA, 22 JUN: Universiti Selangor (UNISEL) meneruskan kemeriahan Syawal dengan penganjuran Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat UNISEL, di Dewan Canselor kampus Bestari Jaya, di sini semalam.

Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, sambutan saban tahun itu disambut seluruh kakitangan insititusi pengajian tinggi terbabit termasuk dari kampus Shah Alam dan Petaling Jaya.

“Majlis ini diadakan setiap tahun bertujuan untuk menyambut kemenangan setelah sebulan berpuasa.

“Selain dapat berkumpul menyambut Hari Raya Aidilfitri, majlis ini juga merupakan satu landasan mengeratkan lagi tali silaturahim sesama staf di samping menjamah juadah disediakan,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin dan Penghulu Mukim Pasangan, Kampung Tanjung Siam Bestari Jaya, Mohd Rizan Haron.

Sebanyak 13 gerai makanan menyajikan aneka juadah antaranya kambing bakar, mee rebus, laksa dan buah-buahan yang membabitkan penyertaan daripada jabatan dan fakulti.

Selain itu, pertandingan gerai tercantik, pakaian tercantik (kontemporari, moden dan tradisional) termasuk kuiz dan cabutan bertuah turut diadakan.


Pengarang :