PENDIDIKAN

UPM lonjak kedudukan ke-159 universiti terbaik dunia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SERDANG, 19 JUN: Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya melonjakkan kedudukan ke-159 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings 2020, sekali gus meraih kedudukan universiti kedua terbaik dalam negara.

Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris berkata, lonjakan itu adalah sebanyak 43 tangga berbanding kedudukan ke-202 pada tahun sebelumnya dan mencatat prestasi kenaikan selama enam tahun berturut-turut.

Katanya, ia adalah pencapaian terbaik sejak penyertaan pertama dalam ranking berkenaan.

“UPM mencapai sasaran Putra®Global 200 (PG200) iaitu salah satu aspirasi penting dalam Pelan Strategik UPM 2014-2020 untuk berada dalam senarai 200 universiti terbaik dunia QS menjelang 2020.

“Pencapaian awal setahun daripada perancangan ini bermakna UPM akan menetapkan matlamat baharu dalam pelan transformasinya, selaras dengan peranan universiti dan asas-asas pendidikan.

“Pada tahun ini, UPM menunjukkan penambahbaikan dalam semua indikator dan lonjakan tertinggi adalah pada indikator Reputasi Majikan. Ini menandakan bahawa pelajar, penyelidikan dan aktiviti pengembangan kami mendapat pengiktirafan daripada industri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, indikator Pelajar Antarabangsa adalah kekuatan paling cemerlang untuk UPM dengan menduduki ranking 135 dunia bagi indikator itu.

Katanya, komitmen berterusan UPM dalam membina rangkaian antarabangsa yang kukuh menjadikan institusi pengajian tinggi awam terbabit mampu menarik pelajar, penyelidik dan staf akademik bertaraf antarabangsa.

“Semua peningkatan ini adalah disebabkan usaha bersama semua warga UPM dengan sokongan kuat daripada pelbagai peringkat pekerja yang memberikan nilai organisasi kukuh ke atas kecemerlangan, kepelbagaian, kemampanan dan integriti di UPM.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua staf dan pelajar, alumni, pemegang taruh dan rakan industri atas sokongan yang diberikan kepada UPM sepanjang tahun-tahun yang mencabar kami,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, UPM akan terus berusaha memperbaiki kelemahan, meningkatkan kekuatan dan mengambil pendekatan strategik untuk meningkatkan prestasi keseluruhan.

“Kami akan terus melaksanakan usaha berstruktur untuk menanda aras amalan dan prestasi kami dengan universiti terbaik dunia,” katanya.

QS World University Rankings 2020 menilai 1,620 universiti utama dunia berdasarkan enam indikator iaitu Academic Reputation (40%), Employer Reputation (10%), Student to Faculty Ratio (20%), Citations per Faculty (20%), International Faculty (5%) dan International Students (5%).


Pengarang :