PENDIDIKAN

UTeM perluas jalinan kerjasama dengan pihak industri, universiti luar negara

MELAKA, 27 Jun : Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan memperluaskan jalinan kerjasama dengan pihak industri dan universiti-universiti di luar negara selaras dengan usaha memperkasakan institusi pengajian tinggi bagi menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

Naib Canselor UTeM, Prof Dr Raha Abdul Rahim berkata, melalui perkongsian pintar yang bakal dijalin, pihaknya akan melihat kesesuaian program yang ditawarkan universiti luar negara sebelum diadaptasi dan dilaksanakan di universiti tersebut.

Beliau yang dilantik memegang jawatan tersebut pada 16 Jun lepas berkata, biarpun telah wujud pelbagai bentuk kerjasama dengan beberapa universiti luar negara sebelum ini ,namun ianya lebih kepada program mobiliti pelajar, dan UTeM perlu mengorak langkah lebih jauh ke hadapan.

“Semenangnya universiti ini telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan namun perkara ini akan diteliti supaya usaha yang diambil itu mampu menyediakan pelajar yang lebih berdaya saing dan kompetensi.

“Kita juga akan lihat kepada kepakaran pensyarah yang ada terutama dalam bidang teknologi selain berusaha melahirkan pelajar yang memenuhi kehendak industri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mahabbah Aidilfitri UTeM 2019 di Kampus Durian Tunggal, di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri yang juga Canselor UTeM Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi Melaka, Noor Effandi Ahmad.

Raha berkata, sehingga kini, UTeM telah mengadakan jalinan kerjasama dengan lebih 120 pihak industri bagi memperkasakan bidang teknologi dan inovasi.

“Sebagai universiti latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) pertama di negara ini, kerjasama teknikal dan teknologi dari luar negara mampu membantu proses asimilasi dalam kalangan pelajar.

“Kita merancang untuk mengadakan kerjasama dengan satu atau dua universiti luar negara tahun ini bagi mengukuhkan lagi jaringan tersebut dan ini terbukti berdasarkan data, ia mampu melonjakkan kadar kebolehpasaran graduan UTeM kepada 86 peratus berbanding 80 peratus di peringkat nasional,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :