NASIONAL

Video kontroversi: Azmin beri keterangan kepada polis

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sudah memberi keterangan kepada polis semalam berkaitan video kontroversi yang dikaitkan dengannya.

Peguamnya, N Surendran berkata, Ahli Parlimen Gombak itu memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan mereka.

“Pejabat menteri itu dihubungi polis pada 16 Jun lalu untuk merakam keterangannya sebagai sebahagian daripada siasatan mereka.

“Terdapat petunjuk jelas berhubung wujudnya cubaan terancang dan sistematik untuk mencemarkan nama baik dan menjatuhkan menteri itu dengan serangan tuduhan palsu dan berniat jahat.

“Para pelakunya juga mempunyai akses kepada data peribadi anggota parti yang dibocorkan, satu kaedah canggih dan mempunyai agenda politik yang jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Surendran berkata, pihaknya yakin polis akan dapat menyelesaikan perkara itu dalam masa terdekat bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap para pelakunya mengikut lunas undang-undang.

Minggu lalu, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seorang individu yang cuba mengaitkannya dengan video seks dengan menyifatkannya sebagai rancangan berniat jahat untuk merosakkan dama baik dan karier politiknya.

-BERNAMA


Pengarang :