SELANGOR

Walk-a-Hunt: Walk for Depression tangani stigma kemurungan

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SUBANG JAYA, 11 JUN: SJ Care Warriors bakal menganjurkan program Walk-a-Hunt: Walk for Depression bagi menangani stigma kemurungan dalam kalangan masyarakat, pada 14 Julai ini.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng berkata, program berbentuk ‘treasure hunt’ itu bagi memfokuskan kesedaran dan mempelajari lebih lanjut berhubung kesihatan mental.

“Sebanyak 400 peserta diasasar menyertainya membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional dan beberapa kumpulan sokongan supaya orang awam mengetahui saluran betul bagi mendapatkan bantuan jika mereka menghadapi masalah berkaitan kesihatan mental.

“Justeru, kerjasama pelbagai pihak dalam menangani penyakit ini diperlukan dalam membangunkan strategi pencegahan dan mengendalikan kesejahteraan mental untuk mencegah kemurungan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Subang Jaya di Kelab Warga Emas USJ 6, di sini hari ini.

Michelle berkata, pembabitan golongan barisan hadapan dalam komuniti seperti polis, bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pemimpin agama mampu melengkapkan mereka dengan kemahiran serta pengetahuan lebih meluas.

“Apabila mendapat penerimaan di barisan hadapan komuniti, ia akan mempengaruhi seluruh komuniti ketika berhadapan dengan seseorang yang memerlukan bantuan dari segi kesihatan mental,” katanya.

Yuran pendaftaran RM60 dikenakan bagi setiap penyertaan dan melalui hasil kutipan itu, ia akan disalurkan kepada pertubuhan NGO seperti Befrienders, Malaysian Mental Health Association dan Mental Illness Awareness and Support Association,

Mereka yang berminat boleh mendaftar di http://bit.ly/WalkAHunt2019 atau e-mel ke [email protected].


Pengarang :