JOHOR BAHRU 16 Jun — Seorang penunggang motosikal warga Singapura putus kepala akibat terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di Kilometer 6.6 Jalan Gelang Patah menghala ke Ulu Choh pagi tadi. Mayat Liaw Ziang E, 43, dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk dibedah siasat manakala pemandu van berusia 28 tahun itu ditahan untuk tujuan siasatan lanjut. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Warga Singapura putus kepala dirempuh van

JOHOR BAHRU, 16 JUN: Seorang warga Singapura maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya putus selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah van di Kilometer 6.6, Jalan Gelang Patah menghala ke Ulu Choh, dekat Iskandar Puteri, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian pada 9.33 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun itu menunggang motosikal jenis BMW dari Gelang Patah menuju ke Ulu Choh, maut di tempat kejadian selepas dipercayai merempuh sebuah van Toyota Hiace yang dipandu seorang lelaki warga tempatan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu van berkenaan memasuki simpang kanan jalan sebelum dirempuh oleh mangsa yang bergerak lurus dari arah Gelang Patah menghala ke Ulu Choh.

“Ekoran dari kemalangan itu, bahagian kepala mangsa terputus dan tercampak ke tengah jalan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pemandu van berkenaan yang berusia 28 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, kata Dzulkhairi.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk dibedah siasat. Polis juga menahan pemandu van tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :