NASIONAL

WCE beri kepuasan balik beraya

BAGAN DATUK, 2 JUN: Orang ramai yang ingin pulang ke kampung untuk meraikan Syawal gembira dan berpuas hati dengan keadaan trafik yang lancar susulan pembukaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Hutan Melintang-Teluk Intan sejak Jumaat lepas.

Mohd Rosni Abdullah Sani, 41, berkata dengan pembukaan lebuh raya tersebut, dia bersama ibu yang kerap ulang alik ke rumah adiknya di Port Dickson, Negeri Sembilan, dari Sitiawan berasa lebih selamat kerana keadaan trafik lebih terkawal.

Katanya, keadaan jalan lama sebelum ini di Hutan Melintang tidak rata malah banyak kenderaan berat keluar masuk yang boleh mengakibatkan kemalangan sekiranya tidak bernasib baik.

“Jalan dulu bahaya kadang-kadang saya risau jika apa-apa terjadi atau kerosakan pada kenderaan kerana jalannya yang tidak rata.

Malah, ada orang kampung di situ yang menunggang motosikal juga sering keluar dari simpang secara melulu dan kita yang memandu terpaksa lebih berhati-hati,” katanya ketika ditemui di Plaza Tol Teluk Intan di sini hari ini.

Adiknya, Rozilawati, 40, berkata selain turut mengurangkan tempoh perjalanan, pembukaan lebuh raya tersebut sangat dinantikan memandangkan dia sekeluarga pernah mengalami kejadian tayar pancit beberapa kali di jalan biasa sebelum ini.

“Memang rasa legalah ada lebuh raya ini fasiliti seperti surau dan tandas juga telah disediakan untuk kemudahan orang awam,” katanya yang juga peniaga nasi lemak di Sitiawan.

Tinjauan Bernama di lebuh raya itu hari ini mendapati pengguna dari arah selatan menghala ke utara lebih banyak menggunakan kemudahan sepanjang 19.1 kilometer itu.

Pembukaan jajaran Seksyen 8 yang direka bentuk sebagai laluan dua lorong dua hala itu menjadi laluan pintasan kepada penduduk tempatan sekitar Sabak Bernam, Bagan Datuk, Hutan Melintang dan Sitiawan.

– BERNAMA

 


Pengarang :