SELANGOR

YIDE terima 2 mesin hemodialisis sumbangan Worldwide

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menerima sumbangan dua mesin hemodialisis daripada WorldWide Holdings Berhad bernilai RM80,000.

Sumbangan disampaikan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Ami Nardin Ishak, baru-baru ini.

Pegawai perhubungan Korporat YIDE, Muhammad Hafiz Bahari berkata, mesin hemodialisis itu bakal ditempatkan di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Katanya, setakat ini, YIDE memiliki 48 mesin hemodialisis di enam cawangan Pusat Dialisis MAIS bagi menampung 270 pesakit keseluruhannya.

“Enam cawangan itu di Kapar, Sungai Besar, Kuala Selangor, Shah Alam, Bukit Jelutong dan Taman Melawati.

“Penggunaan mesin hemodialisis secara tiga sesi setiap hari tanpa henti menyebabkan ia mudah rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan hamper raya kepada pesakit pesakit dialisis di Pusat Dialisis MAIS cawangan Shah Alam, baru-baru ini.

Pada masa sama, Hafiz berkata, YIDE turut memerlukan mesin air osmosis kerana usia mesin itu sudah melebihi sembilan tahun.

Katanya, keadaan mesin yang uzur juga menyebabkan kerosakan sering berlaku dengan kos baik pulih yang tinggi sehingga mengganggu proses rawatan setiap hari.

“YIDE merakamkan penghargaan terima kasih kepada Worldwide Holdings Berhad kerana cakna mengenai keperluan yang diperlukan di Pusat Dialisis MAIS.

“YIDE juga berharap syarikat syarikat korporat yang lain turut menyalurkan sumbangan kepada YIDE demi kemaslahatan ummah,” katanya.


Pengarang :