NASIONAL

Zuraida: Pembersihan Sungai Kim Kim selesai sepenuhnya

SHAH ALAM, 24 JUN: Proses pembersihan sepenuhnya telah dilakukan di kawasan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang sebelum ini tercemar akibat pembuangan sisa kimia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya dimaklumkan berhubung perkara itu dan ia telah diselesaikan.

Katanya, berikutan maklumat terkini yang baharu diterima itu beliau ingin membetulkan beberapa fakta daripada kenyataan awal kepada media sebelumnya.

“Adalah dimaklumkan bahawa kawasan terbabit telah dibersihkan sepenuhnya dan sisa berbahaya yang terkumpul telah dibawa ke Pusat Pelupusan Kualiti Alam untuk dihapuskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan awal seperti dilaporkan Bernama, Zuraida berkata, kejadian pelajar sekolah di Pasir Gudang, Johor mengalami gejala sesak nafas Khamis lepas dipercayai berpunca daripada sisa bahan kimia dari Sungai Kim Kim yang tidak diurus dengan baik.


Pengarang :