PETALING JAYA, 6 Julai — Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad Zakri Khir (belakang empat, kanan) bergambar bersama sepuluh pemain yang terpilih ke Allianz Explorer Camp Asian Football Edition di Singapura bermula 23 Julai ini di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SUKANKINI

10 bintang muda AJFC dipilih ke kem AEC di Singapura

PETALING JAYA, 6 JUL: Seramai 10 pemain muda dari Malaysia berpeluang mengikuti latihan bersama pasukan remaja Bayern Munich selepas berjaya memikat hati jurulatih dalam saingan Kem Bola Sepak Junior Allianz (AJFC) 2019.

Pemain tersebut, daripada program di bawah bimbingan bekas pemain antarabangsa yang juga jurulatih skuad Selangor bawah 21 tahun, K. Gunalan, dipilih untuk menyertai Kem Explorer Allianz (AEC) Asia di Singapura pada 23 hingga 26 Julai ini.

Selain Malaysia, pemain dari Indonesia, Sri Lanka, Singapura, Filipina, China, Laos dan Taiwan akan turut menyertai Kem AEC Asia bagi memburu slot berlatih dengan kelab utama Jerman itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata dua daripada pemain Malaysia yang berjaya menampilkkan kemahiran semasa kem tersebut di Singapura, berpeluang mendapatkan latihan yang dikendalikan oleh jurulatih remaja Bayern Munich, Saebener Strasse.

Seramai 1,602 pemain berusia antara 14 hingga 16 tahun telah menyertai Liga AJFC Malaysia tahun ini yang bermula Mac lalu mengikut enam zon iaitu Zon Tengah, Utara, Selatan, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Pada final Liga AJFC Malaysia 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Subang Jaya, dekat sini, hari ini, pasukan Zon Pantai Timur menewaskan Zon Utara 2-1.

Kedua-dua gol Zon Pantai Timur dijaringkan oleh Adam Alif Mustafa seawal minit pertama dan ke-18 manakala gol Zon Utara dijaringkan oleh Muhammad Ismat Imran Zainal pada minit ke-35.

Senarai 10 pemain ke Singapura:

1. Muhammad Hanif Faizal (Zon Tengah)
2. Frealrejuel Domuni (Sabah)
3. Muhammad Syaahir Saiful Nizam (Pantai Timur)
4. Adam Alif Mustafa (Pantai Timur)
5. Muhammad Idzrie Idzleann Syah (Sabah)
6. Muhammad Firdaus Amirrudin (Utara)
7. Darwis Munady Amly (Utara)
8. Muhammad Aliff Najmi (Pantai Timur)
9. Zaifudin Seruji (Sarawak)
10. Derrick Chua Jingye (Selatan)

– BERNAMA


Pengarang :