NASIONAL

15,042 kes kanak-kanak dan remaja hilang sejak 2011

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JUL: Sejumlah 15,042 kes kehilangan kanak-kanak dan remaja direkodkan mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi 2011 hingga Mei lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dalam tempoh itu terdapat aliran penurunan dan paling signifikan antara tahun lalu dan sehingga Mei 2019.

“Johor merekodkan kes tertinggi berjumlah 2,372 kes diikuti Selangor dengan 1,911 kes dan Kedah 1,526 kes.

“Dari jumlah kehilangan 15,042 kes terbabit, sebanyak 14,679 kes telah dijumpai semula, 363 kes masih belum ditemui manakala dijumpai mati adalah 26 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan dikemukakan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto; Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad; Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Beufort, Datuk Azizah Datuk Seri Mohd Dun.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, punca utama kehilangan kanak-kanak dan remaja adalah disebabkan masalah dalaman keluarga serta pengaruh rakan sebaya.

Selain itu, beliau berkata, pengaruh kekasih untuk lari daripada rumah; pertelingkahan atau kurang perhatian keluarga serta tidak minat belajar dan mencari kerja turut menyumbang kepada kes kehilangan.

Katanya, KPWKM menumpukan pendekatan advokasi, kesedaran dan pendidikan bagi keluarga serta komuniti setempat termasuk penambahbaikan sistem penyebaran maklumat sebagai usaha mengekang perkara ini berterusan.


Pengarang :