EXCOSELANGOR

189,829 permohonan Rumah Selangorku diterima sehingga 1 Julai

SHAH ALAM, 29 JULAI: Sebanyak 189,829 permohonan Rumah Selangorku diterima Kerajaan Negeri sehingga 1 Julai lalu, kata EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Beliau berkata, sebanyak 255 projek sudah diluluskan untuk dibangunkan, sehingga 30 Jun lalu.

Katanya, perincian data Rumah Selangorku direkodkan mengikut perincian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan tidak mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Daripada 255 projek, 31 projek sudah siap dibina, 61 sedang dibina manakala 163 projek adalah dalam perancangan” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri, pada sidang Dewan Negeri Selangor di Dewan Annex hari ini.

Berdasarkan status projek Rumah Selangorku mengikut PBT, Majlis Perbandaran Kajang merekodkan jumlah tertinggi iaitu 55 projek dengan pecahan 10 projek siap bina, sembilan sedang bina manakala 36 lagi dalam perancangan.

Majlis Perbandaran Sepang kedua dengan 37 projek, Majlis Bandaraya Shah Alam (30), manakala Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Daerah Sabak Bernam paling terendah masing-masing sebanyak tiga projek.


Pengarang :