AGENDANASIONAL

1MDB: Mahkamah tetap 29 Ogos pengurusan kes lucut harta

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 29 Ogos untuk pengurusan kes berhubung permohonan kerajaan melucut hak harta dirampas daripada bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek dan tiga entiti yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tiga entiti itu ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Wanita MCA dan Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan bahawa kesemua responden memfailkan afidavit balasan pada 26 Julai lalu.

“Pihak pemohon (pendakwaan) telah menerima afidavit balasan daripada pihak responden,” katanya semasa sebutan kes hari ini.

Peguam Nurfazreen Hazrina Rahim yang mewakili UMNO, peguam Low Hai Liang mewakili Wanita MCA dan Badan Perhubungan UMNO Sabah selaku responden yang diwakili peguam Harcharanjit Singh masing-masing mengesahkan perkara berkenaan.

Jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak ialah RM212,965,413.61 dari UMNO, Wanita MCA berjumlah RM300,000, Badan Perhubungan UMNO Sabah sebanyak RM1,254,112.24 dan Hasan Malek RM100,000.

Mahadi turut memberitahu mahkamah bahawa peguam Muhammad Amin Othman yang mewakili Hasan selaku responden akan memfailkan representasi kedua terhadap permohonan lucut hak oleh pendakwaan itu selepas representasi pertama ditolak pada 26 Julai lalu.

“Pihak responden berhasrat untuk memasukkan representasi kedua,” katanya dan peguam Muhammad Amin mengesahkan perkara itu.

Mahadi ketika ditemui media selepas prosiding berkata pada tarikh itu (29 Ogos) juga keputusan representasi untuk Hasan Malek akan diketahui.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

-BERNAMA


Pengarang :