BERITA UTAMAPENDIDIKAN

20 pelajar UNISEL terima Biasiswa Bestari

 

OLEH SHEEDA FATHIL

BESTARI JAYA, 13 JUL : Universiti Selangor (UNISEL) menyerahkan Biasiswa Bestari kepada 20 pelajarnya yang juga penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok dan Permatang.

Presiden merangkap Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, biasiswa itu adalah inisiatif baharu pihak universiti untuk membantu pelajar sekitar DUN terbabit melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi di UNISEL.

Katanya, beliau berharap biasiswa yang julung kali diwujudkan itu menjadi pembakar semangat kepada penerima untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

“Tahniah saya ucapkan dan semoga penerima biasiswa ini menjadikan ia sebagai satu peluang untuk mengubah diri, keluarga dan negara menjadi lebih berjaya pada masa akan datang.

“Biasiswa ini juga adalah tanggungjawab dan amanah kepada penerima untuk memastikan pada suatu hari nanti anda kembali menjadi penyandang kepada kejayaan terutama terhadap kawasan anda sendiri iaitu Ijok dan Permatang”, katanya menerusi kenyataan di Facebook UNISEL.

Terdahulu, Majlis Penyerahan Biasiswa Bestari itu disampaikan sendiri Dr Mohammad Redzuan sambil disaksikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad dan ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin di Dewan Senat, UNISEL, di sini, semalam.

Sementara itu, Dr Idris berkata, beliau menyifatkan biasiswa itu sebagai salah satu usaha yang amat baik terutama kepada pelajar sekitar Ijok kerana mereka berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti sekali gus menjadi penggerak kepada masa depan negara.

Manakala, Rozana pula berkata, Biasiswa Bestari itu adalah salah satu impian beliau dalam usaha menjadikan DUN Permatang sebagai ‘Peri Ilmu’ dan terus maju ke hadapan.

“Tahniah diucapkan kepada kesemua penerima Biasiswa Bestari. Jadikanlah ia sebagai langkah pertama untuk berjaya dan syabas juga diucapkan kepada UNISEL kerana berjaya merealisasikan idea biasiswa ini,” katanya.

Difahamkan, penerima Biasiswa Bestari akan mendapat bayaran pendaftaran percuma dan pengecualian yuran bagi semester pertama pengajian yang bernilai sehingga RM5,000.


Pengarang :