BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

20 usahawan Selangor sertai Malaysia Fest 2019 di Singapura

SHAH ALAM, 22 JUL: Seramai 20 usahawan Selangor terpilih menyertai Ekspo Malaysia Fest 2019 yang berlangsung di Singapura bermula 25 Julai.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, usahawan berkenaan mengetengahkan produk kosmetik, makanan, minuman dan kraftangan membabitkan 150 SKU (stock keeping unit) dengan anggaran jualan RM400,000.

Katanya, edisi ke empat itu adalah landasan perniagaan untuk memberi peluang kepada usahawan menerokai dan mempromosikan produk negeri ke pasaran antarabangsa.

“Sebanyak 10 booth ditempah sempena ekspo itu berkonsepkan ‘Selangor Pavilion’ yang menonjolkan pintu gerbang mercu tanda Selangor dalam dewan jualan.

“Seramai 50 usahawan yang tidak dapat hadir tetapi produk mereka turut dibawa masuk melalui agen penjual yang dilantik.

“Daripada jumlah 150 SKU, sebanyak 80 SKU produk ‘My Kampung My Future’ (MKMF) daripada 16 kampung seluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas program flag off produk Selangor ke Malaysia Fest 2019, di Wisma PKPS, di sini.

Hadir sama Pengerusi FAMA, Sr Ishak Ismail; Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Zainal Abidin Yang Razali dan Pengarah FAMA Selangor, Dato’ Abd Ghariff Ramin.

Izham berkata, Kerajaan Negeri turut membawa pemain industri buah-buahan iaitu ‘MBG Fruit Shop’ yang mempunyai 120 rangkaian outlet di Lembah Klang ke ekspo itu.

“Pada masa sama, kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Perdasama juga akan membawa pelbagai produk proses industri asas tani untuk ditawarkan kepada pengunjung ekspo,” katanya.

Tahun lalu, seramai 18 usahawan industri asas tani dengan 72 SKU ke ekspo berkenaan dengan lima gerai jualan yang membawa pulangan mencecah RM150,000 sepanjang empat hari ekspo berlangsung.

Antara produk yang akan diketengahkan Pavilion Selangor ialah produk ‘Signature Selangor’, Kopi Kanchong Darat (KDC).

KDC turut memperkenalkan perisa baru iaitu durian dan keledek.

Pameran produk di ekspo itu menyasarkan 90,000 pengunjung dengan jualan 3 juta (SGD).

Malaysia Fest 2019 berlangsung pada 25 hingga 28 Julai di Singapore Expo, Dewan 6A dari jam 10 pagi hingga 10 malam.


Pengarang :