AGENDAJENAYAH

2,063 individu ditahan dalam Op Icebreaker

SEMENYIH, 29 JUL: Seramai 2,063 orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan dadah, ditahan dalam Op Icebreaker yang bermula tengah malam tadi, yang menggempur 117 sarang penagihan dadah di seluruh negara.

Operasi besar-besaran sehingga 4 Ogos itu adalah dalam fasa pertama, dalam usaha menumpaskan kegiatan pengedaran, penyeludupan dan penagihan dadah dalam negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Mohd Kader berkata, kesemua mereka ditahan kerana pelbagai kesalahan dadah termasuk membekal, memiliki dan positif dadah.

“Seramai 152 individu didapati mengedar dadah, 407 orang memiliki dadah, 1,392 orang positif dadah, 30 orang mempunyai waran tangkap dan 82 orang di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai jenis dadah, antaranya syabu (319.56 gram); ketamin (0.9 gram); ganja (77.95 gram); heroin (613.15 gram); dan air ketum (106.97 gram).

Sementara itu, Mohd Khalil menyuarakan harapan agar masyarakat turut memainkan peranan dalam membanteras gejala dadah, dan sehubungan itu pihaknya melancarkan talian hotline yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah.

“Orang ramai boleh menghubungi talian hotline 012 2087222 atau melalui mesej WhatsApp berserta dengan maklumat lengkap bagi melaporkan segala gejala dan aktiviti yang disyaki berkaitan dadah,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :