NASIONAL

28 peratus bas sekolah gagal ikut piawaian ditetap Puspakom

SHAH ALAM, 12 JUL: Sebanyak 28 peratus daripada lebih 26,000 bas sekolah yang menjalani pemeriksaan berkala di Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) bagi tempoh 1 Julai 2018 hingga 30 Jun lepas gagal mengikuti piawaian pemeriksaan ditetapkan.

Menurut kenyataan Puspakom hari ini, berdasarkan statistik syarikat tersebut, kegagalan lebih 7,300 bas sekolah mematuhi piawaian ditetapkan itu merangkumi aspek bahagian atas dan bawah kenderaan, brek, sistem gantungan kenderaan, gelincir sisi, asap dan lain-lain yang tertakluk dalam skop pemeriksaan.

“Rekod ini jelas menunjukkan bahawa Puspakom tidak sewenang-wenangnya meluluskan kenderaan yang tidak menepati skop dan piawaian pemeriksaan,” kata kenyataan itu.

Puspakom turut memaklumkan, bas sekolah yang mengakibatkan seorang murid darjah enam di Kelantan maut selepas terjerlus dari lantai tangga kenderaan itu pada 4 Julai lepas, telah melalui pemeriksaan berkala syarikat berkenaan pada Mei lalu.

Jelas kenyataan tersebut, berdasarkan rekod dan gambar-gambar pemeriksaan yang dijalankan, kesemua item pemeriksaan pada bas sekolah itu berada dalam keadaan baik.

“Laporan pemeriksaan bas sekolah selepas kemalangan itu juga telah dihantar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada petang Rabu lepas.

“Bagaimanapun, Puspakom tidak boleh memberi komen lanjut mengenai laporan tersebut kerana ia dalam siasatan polis. Kami ingin menegaskan bahawa Puspakom tidak sesekali berkompromi terhadap kenderaan yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Puspakom menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian tidak berasas yang boleh menambahkan lagi kesedihan keluarga mangsa.

Pada 4 Julai lepas, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, murid darjah enam Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang di Kelantan dilaporkan meninggal dunia serta-merta selepas terjerlus jatuh dari lantai tangga bas yang dinaikinya di Kampung Kandis, Pasir Puteh.

Ketika kejadian, Wan Muhammed Adam dipercayai berdiri bersama-sama rakannya yang lain berhampiran tangga di bahagian depan bas ketika dalam perjalanan menghadiri bengkel Bahasa Inggeris di Bukit Keluang, Terengganu. – BERNAMA


Pengarang :