BERITA UTAMA

281,527 kes kemalangan direkodkan sehingga Jun

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Sejumlah 281,527 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, meningkat 2.5 peratus berbanding 274,556 bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, kes berkenaan meliputi kemalangan maut, kemalangan yang membawa cedera parah dan cedera ringan.

“Daripada jumlah itu, Selangor adalah negeri penyumbang tertinggi kes kemalangan iaitu 83,607 (29.7 peratus), diikuti Johor 41,161 (14.6 peratus) dan Kuala Lumpur di tempat ketiga dengan 36, 288 kes (12.9 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media laporan prestasi setengah tahun dan Op Saman Tertunggak Warga Asing (Ostwa IX) di Bukit Aman di sini semalam.

Azisman berkata, bagi kes kemalangan maut, Selangor dan Johor menjadi penyumbang tertinggi dengan 482 kematian direkodkan, diikuti Perak dengan 302 kematian.

“Penunggang motosikal pula kekal mendahului senarai penyumbang kematian paling ramai dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan 1,984 kes kematian direkodkan, diikuti dengan kereta (580 kematian) dan pejalan kaki (220 kematian) dan selebihnya adalah lain-lain kenderaan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :