PUTRAJAYA, 8 Julai — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar bersama para penerima surat tawaran selepas Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pinjaman Pelajaran Bagi Pelajar Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Perdana Putra hari ini. Turut sama Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun, Ketua Setiausaha Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Ahmad Jailani Mohamed Yunus, Pengerusi MARA Dr Hasnita Hashim dan Ketua Pengarah MARA Datuk Azhar Abdul Manaf. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONALPENDIDIKAN

31 pelajar ke universiti terbaik dunia terima surat tawaran pinjaman MARA

PUTRAJAYA, 8 JUL: Seramai 31 pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti terbaik dunia (WTU) menerima surat tawaran pinjaman pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini hari ini.

Mereka akan melanjutkan pelajaran ke universiti seperti University of Oxford, Imperial College London, University College London dan London School of Economics and Political Science di United Kingdom, University of Michigan di Amerika Syarikat, Technical Ludwig-Maximilians Universitat Munchen di Jerman dan Nanyang Technological University di Singapura.

Amir Khaled Farid, 20, begitu teruja menerima surat tawaran itu daripada Dr Mahathir sendiri yang merupakan antara idolanya dalam bidang politik selain bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Beliau yang akan melanjutkan pelajaran dalam kursus Falsafah Politik dan Ekonomi di London School of Economics and Political Science itu berhasrat untuk menjadi ahli politik yang mampu mengubah landskap politik negara supaya lebih matang dan lebih fokus kepada isu berbanding sentimen emosi.

“Ini merupakan satu motivasi dan saya akan pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian untuk membantu membangunkan negara,” katanya kepada pemberita selepas menerima surat tawaran itu.

Itrisyia Dayini Kamarul Baharin, 19, yang akan melanjutkan pelajaran di University of Oxford dalam kursus Pengajian Arab dan Tamadun Islam berkata beliau memilih bidang itu kerana minatnya terhadap sejarah dan politik Timur Tengah moden.

“Minat saya terhadap Timur Tengah bermula apabila saya mengambil Diploma Sejarah. Banyak yang saya pelajari tentang sejarah Timur Tengah dan saya mahu meneruskan pengajian mengenainya,” katanya.

Bagi Muhammad Jibril Saifullah Kamarul Hisham, 20, yang akan ke University College London dalam bidang Bio Chemistry, tawaran itu sangat bermakna baginya memandangkan peluang mendapat pinjaman dalam bidang itu sangat sukar berbanding kursus lain.

Jika diberi peluang beliau berhasrat meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana di Amerika Syarikat dan membawa pulang ilmu yang diperolehinya ke tanah air.

“Dengan situasi perubahan iklim sekarang, kita kena fokus lebih kepada sains,” katanya, sambil menambah beliau berhasrat untuk membuka sebuah syarikat bioteknologi di Malaysia.

Menurut MARA dalam kenyataan media sempena majlis hari ini, program WTU itu merupakan pinjaman pelajaran MARA kepada pelajar cemerlang yang ditawarkan mengikuti pengajian ke peringkat ijazah pertama di universiti-universiti terbaik dunia.

Program pinjaman pelajaran MARA telah diwujudkan sejak 1966 dan telah menaja seramai 523,940 orang pelajar, katanya.

MARA memaklumkan, bagi tahun ini kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion di bawah program itu dan setakat Mei, sejumlah 37,909 pelajar telah mendapat manfaat mengikuti pengajian di institusi dalam dan luar negara.

Program WTU adalah kesinambungan dan penambahbaikan daripada program sedia ada dan pada tahun ini, MARA memperluaskan pilihan universiti kepada negara bukan berbahasa Inggeris seperti Jepun, China, Korea, Rusia dan Switzerland, katanya.

Pemilihan universiti-universiti berkenaan dirujuk kepada kedudukan universiti terbaik yang dikeluarkan oleh organisasi pengiktirafan peringkat antarabangsa setiap tahun, kata MARA. – BERNAMA


Pengarang :