Selangorkini
Kira-kira 40,000 pengunjung membanjiri festival Bon Odori 2019 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara (Panasonic), Shah Alam malam tadi. -foto HAFIZ OTHMAN (SelangorKini)
BERITA UTAMA

40,000 banjiri festival Bon Odori 2019

SHAH ALAM, 21 JULAI: Festival Bon Odori 2019 di Kompleks Sukan Negara (Panasonic) berlangsung meriah semalam dengan kehadiran melebihi sasaran, iaitu kira-kira 40,000 pengunjung.

Pengunjung pelbagai bangsa kebanyakannya mengenakan pakaian tradisional Jepun iaitu Kimono dan Yukata serta Zori (sandal kayu), sekali gus menggamit lagi kemeriahan festival berkenaan yang bermula 4 petang hingga 10 malam.

Pengerusi Jawatankuasa Bon Odori Kelab Jepun Kuala Lumpur (JCKL), Atsushi Nakamura berkata, acara tahunan itu bertujuan memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman serta melihat sendiri keindahan kebudayaan Jepun melalui pakaian tradisional, kesenian, makanan dan minuman.

Katanya, Bon Odori adalah festival yang disambut pada musim panas di Jepun dan majlis itu diadakan sebagai menghormati nenek moyang mereka melalui persembahan, tarian, nyanyian mengikut rentak drum, gong dan seruling.

“Perayaan ini disambut setiap tahun sebagai acara musim panas popular yang diadakan di setiap daerah di setiap bandar di Jepun.

“Di Malaysia, festival ini bermula sejak 1977 bagi mempromosi dan mengukuhkan hubungan budaya antara Malaysia serta Jepun dengan membenarkan penduduk tempatan menikmati pelbagai jenis makanan, minuman, seni juga tarian Jepun,” katanya dalam sidang media festival Bon Odori kali ke-43 itu.

Hadir sama, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari.

Turut hadir, Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Pengerusi JCKL, Ryuta Katori serta Pemangku Pengurus Besar Tourism Selangor, Mohammad Zaim Mohammad Nasir.

Sementara itu, Dr Makio berkata, beliau terharu dengan sambutan hebat rakyat Malaysia khususnya Selangor yang hadir ke festival itu.

“Kita gembira dengan kehadiran ramai penonton tidak hanya orang Jepun tetapi juga Malaysia untuk sama-sama menikmati kesenian dan muzik Jepun,” katanya.

Festival berskala besar yang diadakan sejak 2008 itu mendapat kerjasama penuh Kerajaan Selangor, Tourism Selangor, Invest Selangor Sdn Bhd, Sekolah Jepun Kuala Lumpur dan Kedutaan Jepun.

Selain itu, kerjasama dengan Persatuan Dasar Timur Persatuan Graduan Jepun, Dewan Perniagaan dan Industri Jepun.

 


Pengarang :