AGENDA NASIONAL

45,668 usahawan terima manfaat HIJRAH

SHAH ALAM, 25 JULAI: Seramai 45,668 usahawan menerima manfaat daripada Hijrah Selangor (HIJRAH) dengan pengeluaran pembiayaan RM450 juta, sehingga kini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, HIJRAH kini dalam proses membuat pengumpulan maklumat usahawan berjaya dan mendapat lonjakan dalam perniagaan mereka.

Katanya, ia bertujuan untuk membuktikan kejayaan usahawan yang mendapat manfaat daripada pinjaman diberi agensi itu.

“Pada sekitar 2015 hingga 2016, saya juga memberi cabaran kepada HIJRAH supaya keluar daripada kepompong sebagai pemungut pinjaman sahaja dan pada masa sama cuba mengembangkan operasi serta urus tadbir.

“Kini, Selangor beruntung kerana mempunyai pelbagai agensi dan jaringan disediakan untuk program pembangunan keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Program Taklimat Perdana Masjid Peringkat Daerah dan Majlis Menandatangani Surat Kerjasama Hijrah dan Malaysia Digital Economy Malaysia (MDEC) di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Mansor Othman; EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail dan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Amirudin berkata, HIJRAH juga kini dalam rangka promosi dan pengukuhan untuk golongan sasar menyertai skim Khas Zero to Hero.

“Kerjasama ini merangkumi latihan kemahiran untuk peserta baharu berkecimpung dan berminat menjadikan kemahiran sebagai sumber pendapatan.

“Yang menariknya, program ini membolehkan bakal usahawan dipantau oleh mentor sehingga mereka mampu berdikari,” katanya.


Pengarang :