PENDIDIKAN SELANGOR

46 pelatih sesi pertama IKTISASS tamat pengajian

SUBANG, 27 JUL: Seramai 46 pelatih sesi pertama program Inisiatif Kemahiran Teknikal & Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) berjaya menamatkan pengajian masing-masing dalam bidang aeroangkasa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, semua pelatih dibiayai Kerajaan Negeri itu membuktikan kejayaan perkongsian pintar dijalin bersama Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) dan GE Engine Services Malaysia Sdn Bhd (GE Engine Services).

“Saya gembira berada di sini hari ini untuk menyaksikan pengijazahan 46 pelatih dibiayai Kerajaan Negeri menerusi IKTISASS ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan 100 Tahun GE Aviation’s dan Pengijazahan IKTISASS di pejabat GE Engine Services di sini, hari ini.

Amirudin berkata, GE Engine Services adalah sebuah syarikat mempunyai pengalaman selama 100 tahun dalam industri aeroangkasa.

Katanya, keadaan ini memberi kelebihan kepada pelatih terbabit menimba ilmu dan pengalaman di sepanjang pengajian mereka.

Bercakap kepada media pada majlis sama, Amirudin berkata, selain di GE Engine Services, Kerajaan Negeri turut menjalin kerjasama melahirkan tenaga kerja mahir dengan pelbagai pihal lain membabitkan kira-kira 2,000 pelajar di seluruh Selangor.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :