BERITA UTAMA

95% pekerja industri aero angkasa Selangor rakyat tempatan

SUBANG, 16 JULAI: Pekerja mahir tempatan disifatkan sebagai nadi penting kepada pertumbuhan pesat industri aero angkasa, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkara itu dapat dilihat apabila dianggarkan 95 peratus pekerja syarikat pengeluar komponen kapal terbang, SME Aircraft Sdn Bhd dan Airod Sdn Bhd adalah anak tempatan.

“Inilah kekuatan industri aero angkasa Selangor dengan sebahagian besar pekerja adalah warga tempatan dari seluruh Malaysia.

“Setiap kali berbincang dengan pengilang, saya sentiasa menawarkan bentuk bantuan yang boleh diberikan daripada segi membekalkan dan mempertingkatkan kemahiran pekerja mahir yang diperlukan khususnya dalam industri strategik seperti aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas mengadakan lawatan rasmi di Airod Sdn Bhd, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor, Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

SelangorKini difahamkan, terdapat lebih 700 pekerja berkhidmat di SME Aircraft Sdn Bhd manakala lebih 800 pekerja di Airod Sdn Bhd.

Amirudin berkata, selain peluang pekerjaan untuk warga tempatan, industri aero angkasa turut membantu pertumbuhan industri hiliran dan rantaian perniagaan dalam bidang pembuatan serta perkhidmatan.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar dan delegasinya dibawa meninjau proses pembuatan komponen kapal terbang di SME Aircraft Sdn Bhd.

Manakala di Airod Sdn Bhd pula, delegasi dibawa melihat kerja membaik pulih dan menyelenggara pesawat di hangar milik syarikat terbabit.

Kedua-dua syarikat terbabit adalah anak syarikat National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd.


Pengarang :