AGENDASUKANKINI

ABSP latih kanak-kanak cintai sukan bola sepak

SHAH ALAM, 21 JUL : Akademi Bola Sepak Seri Pristana (ABSP) landasan terbaik untuk mendidik kanak-kanak seawal usia lima sehingga 12 tahun mengenali sekali gus mencintai sukan bola sepak.

Ketua Jurulatih ABSP, Khairun Haled Masrom berkata, pada usia sebegitu kemenangan bukan pokok utama sebaliknya pengenalan kepada peserta terhadap teknik asas dalam bola sepak seperti cara menendang.

Katanya, walau ia agak mencabar namun kesabaran yang tinggi perlu ada memandangkan mereka masih di awal usia namun perkara penting adalah dengan mengajar asas sukan terbabit dan buatkan mereka cintai bola sepak.

“Saya amat memuji inisiatif Sekolah Kebangsaan Seri Pristana membuka akademi yang sedikit sebanyak memberi peluang kepada kanak-kanak berminat menceburi sukan bola sepak ini.

“Malah, ia bukan sahaja terbuka kepada pelajar sekolah mereka tetapu turut dibuka untuk pelajar sekolah sekitar Selangor yang berminat untuk menyertai. Pada masa sama, mereka boleh saling kenal antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui SelangorKini pada ABSP Skill Test and Parenting Talk 2.0 di Akademi Bola Sepak Merah Kuning, Persiaran Mokhtar Dahari, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Khairun Haled yang juga Bekas Pemain Kebangsaan berkata, ibu bapa perlu elakkan daripada memberi anak tekanan sebaliknya perlu menyokong apa sahaja yang mereka minati.

Sementara itu, ibu salah seorang peserta, Hazimah Mohd Jamal, 33 berkata, beliau menyokong minat anaknya dan syukur kerana pencapaian sukan dan akademik sentiasa seimbang.

“Saya amat menggalakkan ibu bapa di luar sana untuk menghantar anak ke ABSP kerana di sini mereka akan menjadi lebih berdisiplin dan bersemangat,” katanya.

Manakala, Mohammad Radzi Khairudin, 39 berkata, beliau menghantar dua anaknya berusia tujuh dan 11 tahun menyertai ABSP dan memuji inisiatif akademi itu yang teratur daripada segi pentadbiran dan kejurulatihan.

“Memandangkan latihan diadakan setiap Sabtu dan Ahad, ia tidak menganggu pelajaran anak saya dan mereka juga pandai seimbangkan waktu sukan dan belajar. Nasihat saya kepada ibu bapa lain kita tidak perlu risau yang pasti berikan sahaja sokongan,” katanya.


Pengarang :