ADNSELANGOR

ADN BERSATU Selangor sokong kepimpinan Tun M

SHAH ALAM, 31 JUL : Ahli Dewan Negeri (ADN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

ADN Kuang, Sallehudin Amiruddin berkata, pihaknya tidak melihat sebarang keperluan untuk Perdana Menteri berundur sebelum misi membina semula negara yang diterajui beliau itu diselesaikan dengan sempurna.

“Dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi ketika peralihan kuasa, adalah wajar Tun Dr Mahathir diberikan peluang menguruskan negara dengan sebaiknya dan kami merasakan tidak sepatutnya wujud sebarang desakan untuk beliau melepaskan jawatan.

“Justeru itu, kami Ahli Dewan Negeri Selangor menyambut baik dan menyokong penjawatan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia hingga akhir penggal ke-14,” katanya pada sidang media di Lobi Annex, Dewan Negeri Selangor disini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada 29 Julai lalu terhadap pendirian sama yang dilontarkan UMNO dan PAS, baru-baru ini.

Beliau berkata, sejak transisi kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14, Tun Dr Mahathir berjaya mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul selain menaikkan semula imej negara di persada politik antarabangsa.

“Justeru, Ahli Dewan Negeri BERSATU Selangor tidak nampak keperluan untuk Tun Dr Mahathir berundur sebelum misi membina semula negara yang diterajui oleh beliau ini diselesaikan dengan sempurna.

“Kami ADN BERSATU Selangor menyeru kepada semua Ahli Parlimen Bersatu dan Pakatan Harapan juga ADN Bersatu dan Pakatan Harapan negeri lain, agar berdiri teguh di belakang kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed demi rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.


Pengarang :