Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Agensi bersepadu bermesyuarat Ahad bincang atasi pencemaran sungai

JOHOR BAHRU, 24 JUL: Usaha bersepadu berterusan antara agensi berkaitan dalam mengatasi isu pencemaran sungai di negeri ini adalah antara perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar negeri yang dijadualkan Ahad ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, pihaknya memandang serius isu pencemaran sungai dan berharap agar mesyuarat itu dapat membincangkan langkah dan tindakan seterusnya untuk mengatasi masalah itu.

“Dalam mesyuarat jawatankuasa ini, antara perkara yang kita nak bincang, salah satu agendanya ialah pencemaran sungai. Apa yang penting ialah tindakan bersepadu daripada pelbagai agensi berkaitan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Mesyuarat 28 Julai ini yang akan disertai JAS dan pelbagai agensi lain akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Tan Chen Choon.

Sementara itu, satu mesyuarat khas untuk membincangkan mengenai tapak pelupusan sampah termasuk yang haram, akan diadakan esok, kata Wan Abdul Latiff ketika diminta mengulas mengenai isu tahap pencemaran di sekurang-kurangnya 16 sungai di sekitar daerah Johor Bahru dan Pasir Gudang, yang dikesan semakin kritikal dan tindakan JAS mengenainya.

Mengenai status terkini usaha pendakwaan ke atas tiga kilang berasaskan bahan kimia di Pasir Gudang, beliau berkata pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan yang dijangka siap dalam masa dua minggu sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Kilang-kilang berkenaan dijangka didakwa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, katanya.

Sebelum ini, tiga kilang berkenaan dilaporkan berpotensi tinggi sebagai punca kehadiran bau gas beracun methyl mercaptan di kawasan Pasir Gudang sejak 20 Jun lalu.

Tiga kilang itu disyaki sebagai punca selepas proses penyisihan ke atas 257 kilang bahan kimia di Pasir Gudang selain terletak dalam radius tiga kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4.

Bau gas berkenaan disyaki boleh menyebabkan simptom muntah, loya dan sesak nafas, seperti yang dihadapi oleh pelajar-pelajar dan guru serta kakitangan sekolah-sekolah di Pasir Gudang sejak 20 Jun. – BERNAMA


Pengarang :