NASIONAL

Agensi kerajaan perlu peruntuk dana bagi pusat jagaan kanak-kanak

SIBU, 12 JUL: Semua agensi kerajaan mesti memperuntukkan sebahagian daripada dana dari perbelanjaan mengurus untuk menubuhkan pusat jagaan harian kanak-kanak di tempat kerja masing-masing.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, agensi kerajaan tidak harus menunggu geran dari kementerian kerana ia bertujuan untuk membantu penubuhan pusat jagaan di agensi barisan hadapan seperti hospital.

“Kami telah mengaudit dan mendapati 541 agensi tidak mempunyai pusat penjagaan harian,” kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan Geran Pusat Penjagaan Harian Sektor Awam kepada Hospital Sibu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (Kuching), Jabatan Penjara Limbang dan Kampus UiTM Samarahan di sini hari ini.

Ketiga-tiga agensi itu, masing-masing menerima RM80,000, RM195,000, RM140,000 dan RM100,000.

Beliau berkata, geran itu adalah daripada RM10 juta yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan di bawah Belanjawan 2019 dan melalui peruntukan tersebut, sejumlah 66 pusat jagaan harian atau Taska untuk sektor awam boleh ditubuhkan.

“Kami memberi keutamaan ini untuk kakitangan dan anak-anak mereka di bawah umur empat tahun kerana pada umur lima dan enam tahun, mereka dihantar ke Tadika.

“Keutamaan sebenar adalah untuk kakitangan yang bertugas pada shif malam. Sembilan belas daripada 66 agensi ini terdiri daripada hospital kerajaan. Selebihnya adalah agensi seperti Jabatan Penjara, Polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, “katanya dan menambah setakat ini 101 agensi telah memohon untuk geran tersebut.

Hospital Sibu adalah hospital pertama di Malaysia untuk menerima geran itu.

“Ini khusus untuk jururawat dan anak mereka. Taska di Hospital Sibu bermula pukul 6 pagi hingga 9 malam. Ini membantu mereka yang tidak dapat mencari pusat penjagaan kanak-kanak di luar sedangkan mereka perlu berkhidmat kepada kerajaan dan negara ini dengan bekerja pada shif malam,” kata Yeoh.

Beliau juga berharap melalui usaha sedemikian, kerajaan dapat mengekalkan wanita dalam tenaga kerja supaya mereka tidak perlu meletak jawatan kerana untuk menjaga anak mereka di rumah.

Yeoh yang juga anggota Parlimen Segambut menggesa semua kerajaan negeri menyediakan peruntukan kepada agensinya untuk menubuhkan pusat jagaan harian di bawah belanjawan tahun depan.

Beliau sebelum itu melawat ke Pusat Agape Sibu di Alan Road. – BERNAMA


Pengarang :