BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Agong tonggak keyakinan rakyat, ikon perpaduan negara

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Aspek perpaduan adalah antara perkara yang sentiasa diambil serius oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkuatkuasa 31 Januari lalu.

Bagi Seri Paduka, amat penting untuk rakyat negara ini menghargai keamanan, keselamatan serta keharmonian yang dinikmati hari ini.

Malah, mesej inilah antara intipati titah baginda ketika merasmikan Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 11 Mac lepas.

Sultan Abdullah yang akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini mengingatkan rakyat jelata agar sentiasa memelihara keharmonian dan kerukunan hidup bermasyarakat.

Baginda turut mahu langkah tegas diambil untuk mengekang cubaan segelintir pihak yang mahu memainkan sentimen perkauman serta menyalahgunakan media sosial menyebar kandungan berbaur hasutan, fitnah dan fahaman ekstremis.

Tegas Seri Paduka, kelewatan bertindak terhadap isu yang melibatkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum boleh menyebabkan konflik dan perbalahan yang lebih besar.

Mengulas mengenai pendirian serius Seri Paduka itu, felo utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, Sultan Abdullah yang bakal ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini menyedari usaha menyatupadukan rakyat dan memastikan keharmonian negara adalah antara keutamaan tertinggi dalam peranan selaku Ketua Utama Negara.

Atas kerana itulah, Seri Paduka dilihat amat meniktikberatkan perpaduan apabila tidak jemu-jemu menyeru rakyat semua kaum supaya memberi keutamaan dan perhatian serius kepada pemeliharaan khazanah perpaduan ini pada hampir setiap titah baginda.

Payung kedaulatan

“Sebagai masyarakat dan negara majmuk, Malaysia sangat perlu memelihara perpaduan yang sedia ada agar rakyatnya dapat terus hidup dalam suasana harmoni. Dan ini bukanlah satu tugas yang mudah untuk mengekalkannya kerana kita hidup dengan pelbagai bangsa, agama dan ideologi.

“Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara menyedari bahawa baginda mempunyai peranan penting mewujud dan melestarikan kerukunan dalam kalangan rakyat berbilang kaum antaranya dengan memastikan masyarakat negara ini bukan sahaja bantu-membantu antara satu sama lain dalam kehidupan seharian mereka.

“Lebih penting lagi ialah baginda ikut berperanan dalam memastikan rakyat Malaysia sokong-menyokong antara satu sama lain dalam kehidupan nasional,” kata Teo kepada Bernama baru-baru ini.

Sebagai tonggak kepada simbol perpaduan melangkaui kaum, Teo berkata Sultan Abdullah selaku Yang di-Pertuan Agong dianggap sebagai payung kedaulatan negara untuk memberi naungan, perlindungan dan pembelaan adil lagi saksama kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum, asal keturunan, agama dan fahaman politik mereka.

Ia sejajar dengan sifat institusi raja itu sendiri yang terkecuali daripada ideologi politik demi memastikan apa jua yang dilakukan Seri Paduka dalam pemerintahannya adalah adil-seadilnya bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Hal ini sudah termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan akan tanggungjawab Seri Paduka untuk menjaga kepentingan semua kelompok masyarakat sebagai Ketua Negara Malaysia dan ia tidak pernah berubah sejak negara mula melaksanakan pemilihan Yang di-Pertuan Agong selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Justeru, Sultan Abdullah mengambil berat akan aspek perpaduan yang dilihat sebagai remeh oleh sesetengah pihak. Faktor perpaduan sebenarnya adalah faktor utama mengapa Malaysia begitu stabil sehingga ke hari ini biar pun kesepaduan masyarakatnya sering kali diasak dengan pelbagai ujian.

“Kerukunan ini yang dituntun Seri Paduka dalam pemerintahan baginda pasti mempunyai dampak atau impak yang mempunyai banyak manfaat kepada kemajuan negara termasuk jaminan untuk rakyat terus menikmati akses pendidikan luas, kerjaya dan hidup dengan sempurna sebagai seorang manusia.

“Setiap kaum bebas mengamalkan pegangan agama masing-masing, menggunakan bahasa ibunda kaum tersendiri selain perpaduan utuh merupakan prasyarat utama bagi pihak pelabur untuk datang ke Malaysia. Kestabilan ini sudah tentu merupakan jaminan kepada para pelabur untuk melabur di negara ini,” jelas Teo.

Ikon perpaduan negara

Selain itu, Teo berpandangan ciri-ciri sahsiah atau perwatakan Sultan Abdullah yang terkenal mudah mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat diyakini mampu merangsang rakyat agar lebih bermuafakat sekali gus mengukuhkan lagi penyatuan dan kerukunan sejati.

Ini kerana, perwatakan peribadi baginda itu dilihat akan memudahkan banyak hal pemerintahan negara dalam pelbagai perkara sekali gus menjamin kemajuan, kegemilangan dan keharmonian kepada Malaysia.

“Tidak dinafikan, setiap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong memiliki perwatakan berlainan dan mempunyai susuk kekuatan masing-masing.

“Bagi Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah boleh dijadikan contoh baik kepada rakyat pelbagai kaum dan lapisan masyarakat khususnya yang berkaitan dalam mewujudkan kemesraan sesama kita yang berbagai keturunan untuk memupuk persahabatan lebih akrab dan tulen dengan meneladani perwatakan baginda yang sangat peramah selain mudah bergaul dengan sesiapa sahaja.

“Sesungguhnya baginda adalah Ikon Perpaduan Negara,” katanya.

Di samping itu, tidak dapat dinafikan bahawa dengan adanya institusi Yang di-Pertuan Agong, ia merupakan pusat dan tempat kemuncak di peringkat negara untuk rakyat jelata memperlihatkan ketaatan kepada negara ini.

Malah, ketaatan ini dituntut daripada rakyat melalui Rukun Negara pada prinsip keduanya iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Dengan ini, rakyat sebenarnya memperlihatkan semangat cintakan negara apabila menyokong institusi Yang di-Pertuan Agong.

“Semangat patriotik ini penting kerana dengan adanya semangat begini yang kuat lagi tidak berbelah-bahagi, ia bukan sahaja merupakan penegasan akan jati diri kita bahkan ia juga berupa rasa keterikatan yang kental seseorang individu itu kepada Malaysia.

“Ini antaranya dapat dilakukan terhadap institusi Raja, yakni taat kepada raja juga bererti setia kepada negara,” katanya.

Pengimbang keadaan

Selain itu, peranan baginda untuk sentiasa menjaga keselamatan, keamanan negara selaku Yang di-Pertuan Agong yakni kemuncak kedudukan dalam sesebuah negara dapat dilihat melalui tanggungjawab Seri Paduka dalam ketiga-tiga institusi kerajaan iaitu badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Menurut Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menyatakan secara jelas kuasa eksekutif iaitu kuasa berkaitan pentadbiran negara terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong walaupun secara umumnya ia dilaksanakan oleh penjawat awam dengan frasa Úrusan Seri Paduka Baginda’ pada setiap urusan rasmi.

Ini sekali gus menunjukkan peranan Yang di-Pertuan Agong amat besar dalam pentadbiran negara kerana segala urusan negara hendaklah diperakui di bawah kuasa yang terletak hak mengikut Perkara 39 tersebut.

“Cara paling penting seorang ketua negara menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya adalah dengan menurun kuasa kepada golongan tertentu dalam negara, biasanya kepada jemaah menteri. Kuasa jemaah menteri datangnya daripada kuasa Seri Paduka,” katanya.

Menurut Zainal, Yang di-Pertuan Agong dilihat sebagai pengimbang keadaan bagi memastikan penurunan kuasa kepada jemaah menteri itu tidak disalahgunakan atau dinodai sehingga mendatangkan impak negatif kepada rakyat.

Selain itu, Seri Paduka yang dilihat sebagai sumber kekuatan kepada kepelbagaian dan menjadi kemuncak kepada keadilan dan keseimbangan antara warga Malaysia turut dapat dilihat dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputra mana-mana negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain mengikut peruntukan Perkara tersebut.

“Perkara 153 melindungi semua orang, semua kaum tetapi orang tidak pernah sebut. Ramai mempersoalkan Perkara 153 hanya untuk orang Melayu sedangkan bangsa lain pun dilindungi Yang di-Pertuan Agong untuk mereka mendapat hak pendidikan, permit perniagaan dan sebagainya.

“Ia sering disalah anggap kerana Perkara 153 hanya dibaca sebahagiannya sahaja,” katanya.

Dalam konteks agama, kepentingan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri yang tidak mempunyai raja dan juga tiga buah Wilayah Persekutuan adalah amat bermakna bagi masyarakat beragama Islam kerana berperanan sebagai benteng mengekang usaha perpecahan keharmonian negara.

“Ketua agama ini penting diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi negeri yang tidak ada raja dan juga Wilayah Persekutuan supaya ulama-ulama tidak mempunyai pelbagai pemikiran. Kalau semua orang hendak jadi ulama dan keluarkan pelbagai fatwa, ia boleh menyebabkan masyarakat Islam berpecah-belah akibat perbezaan kepercayaan,” katanya.

Berkaitan hal ehwal kehakiman, Geostrategis dan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azmi Hassan berkata Yang di-Pertuan Agong mempunyai tanggungjawab sangat berat dalam isu perlantikan hakim di Mahkamah Tinggi demi memastikan hakim yang akan diperkenan setelah mendapat nasihat Perdana Menteri mewakili kepentingan negara dan rakyat.

Dalam kes yang ekstrem jika Seri Paduka merasakan calon hakim yang disyorkan Perdana Menteri tidak diperkenan oleh baginda dengan alasan kepentingan negara dan rakyat dicurigai tidak terjamin, maka menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong menolak percalonan tersebut.

“Walaupun senario ini belum tercetus di Malaysia, tetapi di Amerika Syarikat umpamanya pencalonan hakim Mahkamah Agong yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat sering menimbulkan kontroversi,” katanya.

Hakikatnya, ini hanya sebahagian peranan Yang di-Pertuan Agong yang dapat dihuraikan dalam memelihara kesejahteraan rakyat walhal sebenarnya banyak lagi tanggungjawab Seri Paduka yang termaktub jelas dan nyata dalam Perlembagaan Persekutuan sekali gus menjadi tonggak keyakinan rakyat terhadap kestabilan negara.

– BERNAMA


Pengarang :