PBTSELANGOR

Ahli Majlis dinasihat hati-hati jalankan tugas

SUBANG JAYA, 24 JULAI: Kesemua Ahli Majlis diingatkan supaya berhati-hati ketika menjalankan tugas seharian, kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohammad Zulkurnain Che Ali.

Katanya, ingatan itu diberi kepada Ahli Majlis supaya tidak melampau ketika mengadakan lawatan tapak termasuk memberi amaran untuk mengenakan kompaun.

“Memang saya faham, ada Ahli Majlis yang rajin dan mungkin ada waktunya mereka tersalah mengeluarkan arahan kepada mana-mana premis ibarat mempunyai kad kuasa.

“Sepatutnya lebih baik jika ahli majlis berkenaan turun padang bersama bahagian penguat kuasa untuk mengambil tindakan, sekali gus tidak menimbulkan permasalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPSJ, di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohammad Zulkurnain berkata, tugas Ahli Majlis adalah sebagai penggubal polisi dan tidak boleh sewenang-wenangnya masuk ke premis serta megeluarkan kompaun.

“Di dalam kawasan pentadbiran MPSJ kes sebegini masih belum berlaku, namun Yang Dipertua sekadar mengingatkan sahaja,” katanya.


Pengarang :