PBTSELANGOR

AINS Kuala Langat beri peluang cipta inovasi

KUALA LANGAT, 19 JUL : Pertandingan Inovasi peringkat Kuala Langat (AINS) anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) memberi peluang kepada peserta untuk mencurahkan idea terhadap produk inovasi yang dihasilkan.

Pertandingan yang menerima 30 penyertaan membabitkan tiga kategori iaitu sektor awam, Institut Pengajian Tinggi dan sekolah diadakan di Dewan Sri Jugra, Telok Datok, di sini, 16 Julai lalu.

Timbalan Yang DiPertua MDKL, Mohd Yasin Alwi berkata, inovasi itu dapat membudayakan masyarakat yang sentiasa memikirkan solusi apabila hendak menyelesaikan sesuatu masalah.

“Sambutan inovasi ini juga berjaya memperagakan tahap daya fikir, kreativiti dan inovasi tinggi peserta selain produk dihasilkan mereka mencerminkan nilai usaha, daya kreativiti serta daya cipta yang tinggi dalam diri mereka.

“Produk inovasi yang dihasilkan ini perlu diuji dan relevan tahap keberkesanan serta penggunaannya. Idea yang diketengahkan tidak hanya dijadikan bahan pertandingan atau medium perkongsian namun ia wajar dipertimbangkan untuk diguna pakai dan menyumbang kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, beliau melihat pertandingan itu juga sebagai usaha memanifestasikan keperluan era modenisasi yang semakin dahagakan teknologi dalam semua bidang bagi menaik taraf perkhidmatan dan kemudahan sedia ada.

Beliau berkata, pertandingan itu juga berjaya melahirkan bakat baharu dalam bidang teknologi dan optimis semoga ia sentiasa mendapat sambutan dan jumlah penyertaan semakin meningkat dari tahun ke tahun.

“Jika program realiti dan hiburan seperti nyanyian, pementasan teater dan sebagainya mampu meraih sokongan yang amat menggalakkan daripada masyarakat seperti cendawan tumbuh, mengapa tidak program inovasi juga mendapat sokongan sedemikian dan berharap kebolehan dan keupayaan ini dapat terus dibudayakan dan menjadi satu norma dalam menjalankan tugas harian kita semua.

“Sedangkan, masyarakat umum mengetahui bahawa pulangan diperolehi daripada program yang mengetengahkan aspek inovasi dan kreativiti ini lebih lumayan kerana mampu mengharumkan nama negara sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, Johan bagi kategori awam dirangkul Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Langat dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM650 berserta sijil penyertaan; Naib Johan dan tempat ketiga dimenangi pasukan MDKL (RM400 dan RM250) serta sijil penyertaan.

Manakala, pemenang bagi kategori IPT pula, tempat pertama dimenangi pasukan Kolej Komuniti Kuala Langat yang membawa pulang wang tunai RM500 berserta sijil penyertaan, tempat kedua di menangi Kolej Matrikulasi Banting (RM300) beserta sijil penyertaan dan tempat ketiga dimenangi Kolej Komuniti Kuala Langat (RM200) beserta sijil penyertaan.

Sementara itu, bagi kategori sekolah pula dimenangi pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Jenjarom dan Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Panglima Garang mendapat Naib Johan dengan masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 dan RM300 berserta sijil penyertaan.


Pengarang :