SELANGOR

Air Selangor belanja RM1.1 bilion naik taraf sistem bekalan

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membelanjakan RM1.1 bilion bagi menjalankan kerja kapital (CAPEX Works) dalam tempoh tiga tahun dari 2016 hingga 2018.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negera, Charles Santiago berkata, perbelanjaan itu bagi membaik pulih dan menaik taraf sistem bekalan air sejajar matlamat syarikat untuk meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Bagi tempoh enam bulan sehingga Jun 2019, sebanyak RM196 juta dibelanjakan untuk tujuan sama (membaik pulih dan menaik taraf sistem bekalan air).

“Air Selangor juga merangka pelan perancangan 30 tahun dengan perancangan CAPEX sebanyak RM30 bilion,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Charles berkata, hasil penambahbaikan Air Selangor itu menyaksikan gangguan bekalan air tidak berjadual bagi setiap 100 kilometer berkurangan dari 20 kes, pada 2016 kepada 18 kes pada 2017 dan 13 kes, pada 2018.

Katanya, penggantian peralatan utama yang berpotensi menjejaskan operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) mampu menjamin kelestarian bekalan air bersih untuk tempoh minimum lima tahun akan datang.

Kerja penambahbaikan LRA SSP1 selama 12 jam bermula 9 pagi sehingga 9 malam Selasa hadapan membabitkan 758,570 akaun pengguna di 758 kawasan akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 84 jam.

Semua pengguna di tujuh wilayah terbabit iaitu Klang, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Kuala Selangor dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya.


Pengarang :