Selangorkini
AGENDA NASIONAL

AirAsia kemuka rayuan keputusan Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 19 JUL: AirAsia Bhd akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak Permohonan Pembatalan oleh AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd berkaitan pembayaran Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang belum dibayar kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB).

Pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun berkata pihaknya akan memohon penangguhan pelaksanaan selain mencabar tindakan MASSB dan syarikat induknya Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), dengan menggunakan semua peruntukan undang-undang yang ada.

Mereka berkata AirAsia juga mengekalkan bahawa tindakan MASSB dan MAHB itu menjadi beban kepada rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan.

“Kami mahu mengulangi bahawa langkah undang-undang ini bukan hanya berkaitan AirAsia dan MAHB.

“Sekiranya kami kalah di peringkat mahkamah rayuan tertinggi, maka penumpang terutamanya rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan perlu membayar perbezaan yang dikenakan oleh MAHB. Kami percaya rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mendapat tawaran yang lebih adil,” kata mereka dalam kenyataan.

Kedua-dua pengasas itu berkata wang yang dituntut daripada AirAsia oleh MAHB itu adalah dikutip daripada penumpang dan AirAsia tidak mengutip perbezaan jumlah tersebut atau enggan membuat pembayaran kepada MAHB.

MAHB mengenakan PSC baharu sebanyak RM73 bagi penumpang yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke destinasi luar ASEAN berkuat kuasa Julai 2018.

Jumlah itu, menurut Fernandes dan Kamaruddin, adalah RM23 lebih tinggi berbanding kadar sebelum ini iaitu RM50 yang AirAsia telah terus kutip daripada penumpang.

Oleh yang demikian, hampir lima juta penumpang telah mendapat faedah daripada PSC yang lebih rendah.

“AirAsia sejak awal lagi tidak bersetuju dengan kenaikan PSC kerana penumpang yang menggunakan klia2 tidak boleh dipaksa untuk membayar caj yang sama berbanding KLIA yang memiliki kemudahan lebih baik dan lebih mewah.

“Atas prinsip itu, AirAsia tidak mengutip caj tambahan yang dikenakan oleh MAHB berkenaan,” kata mereka.

Fernandes dan Kamarudin berkata syarikat tambang rendah itu juga telah meminta supaya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), yang dibiayai oleh awam menerusi Caj Perkhidmatan Kawal Selia RM1 bagi setiap penumpang, menjadi orang tengah seperti diperuntukkan mengikut Akta Mavcom.

“Sebaliknya, Mavcom enggan campur tangan. Kami akan terus mencabar keputusan Mavcom untuk tidak mahu campur tangan, yang secara jelas bertentangan dengan peruntukan mengikut Akta Mavcom.

“Kegagalan Mavcom untuk campur tangan dan menjadi pengantara juga menyebabkan berlakunya ketidaksepakatan lebih besar dalam industri ini, sekali gus mengakibatkan ketibaan pelancong susut secara ketara selain menjejaskan ekonomi negara,” kata mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Riad Asmat berkata: “Malah, tiada Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) yang terikat disediakan oleh MAHB bagi penggunaan klia2 oleh AirAsia, kecuali Perjanjian Syarat Penggunaan (COU) yang ditetapkan hanya oleh MAHB dan dikenakan terhadap AirAsia atas asas nak terima atau tidak.

“Secara berterus-terang, MAHB ada meminta input daripada AirAsia bagi COU itu tetapi tiada satu pun maklum balas kami diambil kira.

“AirAsia telah meminta perundingan selanjutnya berkaitan COU tersebut dan masih menunggu respons MAHB.” – BERNAMA


Pengarang :