NASIONAL

Anak tiri Najib dibenar diikat jamin RM1 juta

KUALA LUMPUR, 5 JUL : Selepas ibunya Datin Seri Rosmah Mansor dan bapa tirinya Datuk Seri Najib Tun Razak dihadapkan ke mahkamah berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hari ini Riza Shahriz Abdul Aziz pula didakwa.

Najib, 66, menghadapi 42 pertuduhan melibatkan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan berbilion ringgit dana 1MDB manakala Rosmah, 67, didakwa atas 20 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah ratusan juta ringgit.

Riza, 42, yang dikenali sebagai Riza Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri itu, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah USD248 juta (RM1.25 bilion), hasil daripada penyelewengan 1MDB .

Hakim Rozina Ayob membenarkan Riza diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan turut memerintahkannya membayar jaminan itu hari ini selain mengarahkan kesemua pasport yang dimiliki pemilik syarikat Red Granite Pictures itu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 9 Ogos untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Terdahulu, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan menawarkan jaminan RM1 juta dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia dikenakan terhadap tertuduh.

“Kesemua pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan,” katanya yang turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh tidak membantah jumlah jaminan itu, namun seorang lagi peguam yang mewakili Riza, Datuk K. Kumaraendran memohon supaya jaminan itu dibayar secara ansuran.

“Kami memohon supaya RM500,000 dibayar hari ini dan bakinya dibayar pada Isnin atau Selasa depan,” kata Kumaraendran.

Peguam itu turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pasport anak guamnya tidak lagi sah kerana dia telah dikenakan sekatan perjalanan oleh Jabatan Imigresen.

“Saya tidak mempunyai pasport yang sah,” kata Riza yang turut mengesahkan perkara itu ketika disoal oleh Hakim Rozina.

Mengenai jaminan RM1 juta, Rozina bagaimanapun berkata masih sempat untuk tertuduh membayar kesemua jumlah jaminan kerana kaunter jaminan hanya ditutup pada pukul 4.30 petang, hari ini.

“Kamu boleh cuba selesaikan hari ini kerana masih terlalu awal. Saya rasa kamu boleh dapatkan duit itu (jaminan) hari ini,” kata hakim itu.

Selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah, Riza, yang kelihatan tenang berkata: “Faham pertuduhan, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan”.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah USD1,173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 11116073 milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, USA bernombor 123248291 milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California, USA.

Riza, yang merupakan anak Rosmah hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan USD9 juta melalui transaksi pemindahan wang dari akaun serupa pada 10 Sept 2012 dan Okt 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama berjumlah USD133 juta dan USD60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapore bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Ltd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, 7 Temaesk Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Okt 2012.

Mengikut pertuduhan kelima tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa berjumlah USD45 juta di tempat sama pada 14 Nov 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain Kumaraendran dan Hariharan, pihak pembelaan turut diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent, Mohd Shukri Ahmad Mansor, Azrul Zulkifli Stork, Syazwani Zawawi dan Mardhiyah Siraj manakala peguam Muhammad Farhan Shafee bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Najib.

Prosiding itu turut dihadiri adik tirinya, Mohd Norashman dan Nooryana Najwa.

-BERNAMA


Pengarang :