EXCOSELANGOR

AOS 2019 testimoni bangun industri permotoran kreatif

SERDANG, 28 JUL: Art of Speed 2019 (AOS 2019) yang mengetengahkan konsep ‘kustom kulture’ atau budaya mengubah suai kenderaan bakal menjadi testimoni dalam pembangunan industri permotoran kreatif di Selangor.

EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan serta Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, industri berkenaan bukan sahaja mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan pendapatan malah dapat membanteras masalah sosial dalam kalangan anak muda di negeri itu.

Katanya, pihaknya memandang serius dengan minat dan keperluan belia masa kini yang menggemari sektor kreatif permotoran atau kereta.

“Kita melihat perkara ini sebagai serius dan akan terus mendekati serta membantu belia dengan memperbanyakkan program seperti ini. Kalau tidak di peringkat antarabangsa, mungkin di peringkat negeri membabitkan pemain tempatan.

“Ia tidak membabitkan pelaburan besar dengan kemungkinan membawa motosikal bersifat rendah dan sederhana kerana paling penting kita ingin memberi gambaran kepada belia bahawa kita menyokong usaha memartabatkan industri motosikal atau kereta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program The 8th Annual Art of Speed Forum – Nurturing Youth In Creative Motorsports di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) di sini, semalam.

Forum berbentuk santai ala ‘Coffee Talk’ itu menampilkan Pengubahsuai Motosikal dari Hiroshima, Jepun yang juga pemenang Yokohama Hot Rod, Kengo Kimura; Lagenda Pengubahsuai Motosikal, Keiji Kawakita dan Pereka Grafik terkenal dunia permotoran, Shaik Ridzwan.

Acara yang memasuki edisi kelapan berlangsung selama dua hari mulai semalam hingga hari ini dengan menyasarkan lebih 40,000 peminat motosikal dan kereta kreatif.

Ia meliputi pameran kenderaan kustom dan klasik di dewan seluas 45,720 meter persegi.

Khairuddin berkata, Selangor dianggap bertuah kerana dipilih menjadi lokasi himpunan motosikal dan kereta bertaraf dunia, sekali gus membuktikan pembangunan serta fasiliti di negeri itu berada pada tahap terbaik.

Akui tertarik terhadap penganjuran acara gah seumpama itu, katanya, pihaknya turut berhasrat mendapatkan kepakaran daripada penganjur berkaitan konsep yang diperlukan dalam mengendalikan sesebuah acara permotoran.

“Sesuai dengan status negeri maju ditambah pula dengan kedudukan kewangan dan pembangunan di setiap pihak berkuasa tempatan, saya yakin program ini akan mendapat sokongan sepenuhnya.

“Kita boleh memberi kerjasama daripada segi kewangan dan kemudahan logistik untuk menggerakkan program ini dan optimis dapat memenuhi kehendak belia di Selangor,” katanya.

Selain kehadiran lebih daripada 20 ikon terkenal dalam mengubah suai kenderaan dari komuniti kustom, pentas muzik Sound Circus pada acara itu turut diperhebatkan menerusi AOS2019.

Barisan artis Sound Circus menampilkan Hujan sebagai persembahan utama dengan band lain seperti Bittersweet, Masdo, Gerhana Ska Cinta, Kapow, Asheed Def Gab C, Kid Search dan persembahan utama, Blues Gang.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :