Selangorkini
NASIONAL

APMM tahan 21 nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

PASIR PUTEH, 12 JUL: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 21 nelayan Vietnam serta merampas dua bot selepas didapati menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negara, Selasa lepas.

Pemangku Pengarah APMM Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata kesemua nelayan yang berumur antara 17 hingga 55 tahun itu ditahan pada 1.12 tengah hari dan 2.40 petang di lokasi 92 hingga 97 batu nautika dari pantai Tok Bali di sini.

Beliau berkata pasukan ronda diketuai Pegawai Memerintah Kepten Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik yang menggunakan Kapal Maritim Pekan (KM Pekan) terpaksa mengambil masa empat jam untuk menahan bot kedua selepas suspek enggan memberi kerjasama.

“Nelayan warga asing itu juga bertindak agresif dengan melanggar beberapa kali KM Pekan selain menjatuhkan pukat bagi menghalang pergerakan kapal.

“Dalam masa yang sama bot itu juga melakukan pergerakan yang berbahaya sebelum tersangkut di bahagian sisi KM Pekan dan memberi peluang kepada anggota APMM untuk menaiki dan menggeledah bot berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Tok Bali di sini, hari ini.

Ismail berkata ketika menjalankan pemeriksaan itu, pihaknya mendapati mereka telah membuang alat navigasi Sistem Kedudukan Global (GPS) ke laut untuk menghilangkan bukti kedudukan bot dalam perairan Malaysia.

Beliau berkata nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta termasuk bot, peralatan menangkap ikan, ikan sebanyak 1.05 tan dan 50 kilogram sotong kering.

Katanya kesemua suspek dan bot ditunda ke Jeti APMM Tok Bali semalam untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985. – BERNAMA


Pengarang :