NASIONAL

Arahan Najib melalui orang tengah untuk kelulusan pinjaman SRC RM2 bilion

KUALA LUMPUR, 8 JUL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa arahan bagi menyegerakan proses penyediaan Memorandum Jemaah Menteri (MJM), untuk pengeluaran Surat Jaminan Kerajaan berhubung kelulusan pinjaman pertama SRC International Sdn Bhd sebanyak RM2 bilion datang daripada Datuk Seri Najib Tun Razak melalui orang tengah.

Bekas Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan & Aktuari, Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Maliami Hamad berkata, bagi penyediaan MJM untuk kelulusan pinjaman pertama SRC itu, beliau telah menerima tekanan supaya MJM disediakan segera untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2011.

“Masa adalah terhad. Arahan keperluan untuk menyegerakan penyediaan MJM juga bukan sahaja datang daripada SRC tetapi Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) sendiri iaitu Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah yang saya tahu menerima arahan daripada Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib.

“Saya turut menerima arahan sama daripada arwah Datuk Azlin Alias yang pada masa itu merupakan Ketua Setiausaha sulit Perdana Menteri.

Saya percaya bahawa arahan arwah Datuk Azlin Alias adalah terus daripada Perdana Menteri,” katanya semasa membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Najib.

Saksi pendakwaan ke-43 itu berkata arahan yang beliau terima adalah secara lisan untuk memastikan MJM berkaitan disediakan dengan segera untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri pada minggu sama.

“Semua arahan dan tekanan yang saya terima daripada semua pihak berkaitan telah saya turunkan kepada pegawai-pegawai bawahan saya. Saya juga telah mengarahkan Puan Afidah Azwa Abdul Aziz ( Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan) untuk memastikan MJM disediakan untuk pertimbangan dan tandatangan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada hari yang sama, supaya dapat dikemukakan kepada Bahagian Kabinet, JPM pada hari sama iaitu pada 15 Ogos 2011,” katanya.

Maliami, 65, berkata selepas MJM dilengkapkan, draf telah dikemukakan kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) untuk pertimbangan dan beliau (Nor Mohamed) telah menandatangani MJM pada 15 Ogos 2011.

Katanya MJM telah dibentangkan dan diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2011 dan Surat Jaminan Kerajaan bertarikh 26 Ogos 2011 telah ditandatangani Menteri Kewangan II pada masa itu, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah untuk pembiayaan pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC berjumlah RM2 bilion.

Maliami berkata bagi permohonan Jaminan Kerajaan kedua oleh SRC pada 27 Januari 2012, pihak SRC telah sekali lagi datang ke Kementerian Kewangan untuk membincangkan keperluan segera bagi Jaminan Kerajaan itu.

Maliami berkata berhubung penyediaan MJM bagi permohonan Jaminan Kerajaan pertama pada 2011 dan Jaminan Kerajaan pada 2012, beliau telah ditanya oleh pegawai bawahannya, Afidah Azwa, mengapa Kementerian Kewangan perlu segerakan proses penyediaan MJM.

“Ini adalah kerana Puan Afidah Azwa tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat pengesahan maklumat yang diterima daripada pihak SRC sebelum dimasukkan ke dalam MJM yang disediakan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Saya telah maklumkan kepada Puan Afidah Azwa bahawa arahan kepada saya daripada KSP (Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz) adalah untuk berbuat demikian dengan segera kerana SRC mendapat perhatian khas daripada Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib sendiri dan keperluan dana SRC adalah mendesak,” katanya.

Saksi itu juga berkata sebelum ini, prosedur biasa Kementerian Kewangan bagi mana-mana MJM, ia diangkat kepada Menteri Kewangan II untuk pertimbangan dan tandatangan.

“Sebaliknya bagi MJM ini (pinjaman kedua) ia diangkat terus kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan untuk pertimbangan dan tandatangan,” katanya.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. – BERNAMA


Pengarang :