AGENDA GLOBAL

AS enggan jual jet F-35 kepada Turki

WASHINGTON, 17 JUL : Presiden Donald Trump berkata Amerika Syarikat (AS) tidak akan menjual jet pejuang F-35 kepada Turki, berikutan tindakan Ankara membeli sistem peluru berpandu S-400 dari Rusia, lapor agensi berita Anadolu.

“Hubungan Turki dengan kami sangat baik, tetapi disebabkan Turki membeli sistem peluru berpandu lain, jadi kami tidak akan menjual jet pejuang F-35,” kata Trump kepada pemberita semasa mesyuarat Kabinet di Rumah Putih pada Selasa.

Pentadbiran Trump sebelum ini mengancam untuk mengeluarkan Turki dari program F-35 jika negara itu memperoleh S-400 dari Rusia, dan memberi amaran sistem digunakan Moscow mampu mencuri maklumat pesawat pejuang lain secara rahsia.

Berikutan usaha berterusan untuk membeli sistem pertahanan udara dari AS gagal, pada 2017 Ankara menandatangani kontrak membeli S-400 dari Rusia.

Trump kemudian menuding jari kepada pentadbiran Obama yang menjadi punca kepada masalah itu.

AS kemudian bertindak menghentikan latihan untuk juruterbang Turki pada Jun lalu sebagai langkah menghalang penyertaan Turki dalam program F-35.

Pentadbiran Trump turut mengancam mengenakan sekatan ke atas Turki susulan pembelian itu. Turki dalam reaksi balasnya berkata ia akan bertindak sewajarnya.

-BERNAMA


Pengarang :